'Air naik terlalu cepat, tak sempat selamatkan barang'

Penduduk di Taman Perumahan Pandan Damai dan Taman Pandan Indah menyelamatkan diri selepas kediaman mereka dinaiki air.
Penduduk di Taman Perumahan Pandan Damai dan Taman Pandan Indah menyelamatkan diri selepas kediaman mereka dinaiki air.
A
A
A

KUANTAN - Hujan berterusan sejak Jumaat lalu menyebabkan rumah penduduk di beberapa kawasan di sekitar Kuantan berdepan dengan musibah banjir.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa lokasi seperti di Kampung Jaya Gading; Chedering, Perkampungan Sungai Isap, Taman Pandan Indah, Taman Pandan Damai dan Taman Bukit Rangin mendapati kerja-kerja pemindahan mangsa ke pusat pemindahan banjir (PPS) sedang dilakukan.

Rata-rata penduduk yang ditemui memaklumkan air mula memenuhi kawasan rumah mereka sekitar jam 5 pagi Ahad sebelum banjir naik secara mendadak.

Salah seorang penduduk, Nor Liza Abd Kadir, 56, berkata, paras air naik secara mendadak menyebabkan banyak barang tidak dapat diselamatkan.

Menurutnya, banjir tahun ini seperti mengulangi sejarah pada 2014 apabila paras air mencecah bumbung rumahnya dengan kedalaman melebihi 2.1 meter.

Nor Liza
Nor Liza

"Saya tak sempat buat sebarang persiapan kerana taman perumahan ini tidak pernah dilanda banjir sejak lebih tujuh tahun lalu.

"Tapi, kali ini ALLAH menguji kami sekeluarga apabila air sudah mencecah bumbung rumah. Saya hanya sempat menyelamatkan dokumen penting sahaja," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Taman Perumahan Pandan Damai pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Keadaan di sekitar taman perumahanTaman Pandan Indah dan Damai yang dilanda banjir.
Keadaan di sekitar taman perumahanTaman Pandan Indah dan Damai yang dilanda banjir.

Bagi Rosmaini Abdullah, 35, pula berkata, banyak barangan tidak dapat diselamatkan termasuk sebuah kereta kerana air naik secara mendadak.

"Hujan dua hari lalu, air hanya naik paras betis, tetapi pagi tadi (Ahad) saya tengok paras air semakin tinggi sehingga mencecah paras dada.

"Saya memang tidak jangka tragedi pada 2014 berulang lagi tahun ini, namun saya perlu reda dengan ketentuan dan ujian yang diberikan ALLAH SWT," ujarnya.

Dalam pada itu, Rokiah Mohd Noor, 64, mengakui dia terkejut apabila mendapati rumahnya dinaiki air selepas pulang daripada berniaga tengah malam Ahad.

Rokiah
Rokiah

Katanya, air naik mendadak sehingga menyebabkan dia bersama anak dan cucunya tinggal sehelai sepinggang.

"Semua benda barang tidak boleh diselamatkan kerana rumah sudah dinaiki air tambahan pula air naik dengan cepat dan arus deras," jelasnya.

Sementara itu, Anis Nabila Rashid, 25, memaklumkan walaupun persiapan bagi menghadapi banjir telah dilakukan, namun dia tidak menduga paras air meningkat sehingga ke bumbung rumah.

Anis Nabila
Anis Nabila

"Saya duduk di sini sejak tiga tahun lalu dan tidak pernah berdepan dengan situasi banjir.

"Tapi ramai penduduk kata banjir kali ini antara yang terburuk pernah dialami mereka dengan kali terakhir berlaku pada 2014," katanya.

Seorang lagi penduduk, Roha Wahid, 49, berkata, air mula naik di kawasan kediamannya sejak jam 8.30 pagi Isnin sehingga memaksanya bergegas mengalih barang ke tempat lebih tinggi.

Roha
Roha

"Bagaimanapun naik dengan cepat hingga masuk ke seluruh ruang rumah dalam masa kurang satu jam kemudiannya.

"Malah, air turut naik di kawasan jalan utama menyebabkan laluan di sini tidak dapat dilalui kenderaan," jelasnya.