Ganja 5kg dirampas, tiga termasuk petugas hospital ditahan

Ashari (dua dari kiri) menunjukkan rampasan dadah ketika sidang media di IPD Wangsa Maju pada Isnin.
Ashari (dua dari kiri) menunjukkan rampasan dadah ketika sidang media di IPD Wangsa Maju pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang petugas di sebuah hospital bersama isterinya serta seorang ahli perniagaan ditahan disyaki mengedar dadah dalam serbuan pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya merampas dadah jenis ganja seberat lima kilogram bernilai RM9,800.

"Kami menahan seorang lelaki berusia 42 tahun di Kampung Bandar Setapak pada jam 6.45 petang dan merampas dua bungkusan ketulan mampan dadah jenis ganja yang dijumpai dalam beg silang," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Wang Maju di sini pada Isnin.

Ashari berkata, hasil soal siasat, polis menahan isteri suspek berusia yang 42 tahun dalam serbuan di sebuah rumah di Pudu.

"Kami merampas tiga bungkusan ketulan mampan dadah jenis ganja di dalam sebuah bilik," katanya.

Beliau berkata, polis kemudian menahan seorang lelaki yang juga ahli perniagaan di sebuah restoran di Kota Damansara pada jam 9 malam.

"Lelaki berusia 50 tahun itu disyaki pembekal dadah jenis ganja.

"Hasil semakan mendapati suspek tersebut mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, polis siasat kemungkinan petugas hospital berkenaan turut menjual dadah di tempat kerjanya.

"Kami percaya suspek bergiat aktif sejak akhir tahun lalu dengan menjual dadah di sekitar Lembah Klang," katanya.

Ashari berkata, kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1957," katanya.