Tabung bencana pertanian Terengganu salur bantuan RM588,000

Azman Ibrahim
Azman Ibrahim
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Negeri Terengganu menyalurkan bantuan berbentuk saguhati berjumlah RM588,000 kepada petani, penternak dan nelayan negeri tersebut yang terkesan akibat banjir dan ribut dalam tempoh dua tahun.

Exco Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, bantuan dari Tabung Bencana Pertanian Negeri itu diberikan kepada 679 penerima sejak tahun lalu.

Menurutnya, penerima paling banyak melibatkan pemain dalam sektor pertanian iaitu 496 orang dengan sumbangan berjumlah RM301,000 diikuti penternakan RM153,000 (89 penerima) dan perikanan sebanyak RM134,000 (83 orang).

“Banjir, ribut dan kemarau antara bencana sering dihadapi para penternak, petani dan pemain sektor perikanan. Prosedurnya mudah, jika berlaku kerosakan pada tanaman atau ternakan akibat bencana alam, boleh segera buat laporan.

“Petani, penternak dan nelayan boleh buat laporan kepada pejabat pertanian, veterinar dan perikanan di daerah masing-masing beserta gambar kemusnahan untuk pegawai membuat siasatan serta penilaian,” katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut Dr Azman berkata, pihaknya ada menerima beberapa permohonan bantuan dari petani dan penternak terjejas akibat banjir gelombang pertama yang melanda beberapa kawasan pada 2 Disember lalu.

Katanya, setiap permohonan akan diproses oleh jabatan berkaitan sebelum diserahkan kepada urusetia bencana pertanian negeri untuk dinilai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tabung Bencana Negeri Terengganu.

“Bantuan ini bukanlah ganti rugi tapi sebaliknya saguhati bagi meringankan beban dengan harapan petani, penternak, nelayan dan pengusaha ikan sangkar ini dapat membeli benih, baja atau keperluan lain untuk bangkit semula dalam bidang masing-masing,” katanya.

Artikel Berkaitan: