X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

Tiga mangsa banjir lemas ditemukan di Taman Sri Muda

Antara kawasan di Taman Sri Muda terjejas terusk akibat banjir sejak Sabtu lalu.
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Tiga mayat lelaki dipercayai lemas dalam banjir ditemukan di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini pada awal pagi Isnin.

Difahamkan, dua mangsa ditemui kira-kira jam 1 pagi manakala seorang lagi pada jam 5 pagi oleh orang awam dan anggota bomba ketika kerja-kerja menyelamat dilakukan.

Ketua Polis Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, dua daripada mangsa merupakan lelaki tempatan manakala seorang lagi mangsa masih belum dikenal pasti identitinya.

Katanya, perkembangan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes mati lemas akibat banjir di Shah Alam meningkat kepada empat orang termasuk kes lemas yang dilaporkan di Seksyen 22, di sini pada Ahad membabitkan seorang warga tempatan berusia 30-an.

“Jadi kita mengharapkan tiada lagi mangsa lemas di kawasan Sri Muda ini,” katanya ketika ditemui di sini pada Isnin.

Beliau berkata, kesemua mangsa terbabit telah dikeluarkan dari kawasan banjir untuk tindakan selanjutnya.

Pada masa sama, Baharudin memaklumkan, selain 236 pegawai dan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, usaha mengeluarkan mangsa banjir turut disertai seramai 120 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada VAT 69 Komando dan Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA).

Dalam pada itu, beliau turut meminta supaya orang ramai memberi masa kepada pihak berkuasa untuk melakukan yang terbaik dalam usaha menyelamatkan mangsa yang masih terkandas rumah masing-masing di Taman Sri Muda.

Baharuddin turut mengakui bahawa keadaan banjir di Taman Sri Muda itu adalah yang paling teruk berbanding dengan kawasan lain di Shah Alam dan ia telah mencetuskan keadaan panik dalam kalangan penduduk.

“Jadi saya minta minta orang awam dan mangsa-mangsa yang terlibat beri masa.

"Kita akan cuba yang terbaik untuk menyelamatkan mereka sama sama ada dengan cara mengeluarkan mereka daripada kawasan banjir dan juga menghantar bekalan makanan,” ujarnya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!