Mangsa banjir di Perak meningkat

Anggota bomba membantu memindahkan mangsa banjir di Changkat Jong, Teluk Intan selepas kediaman mereka dinaiki air akibat banjir.
Anggota bomba membantu memindahkan mangsa banjir di Changkat Jong, Teluk Intan selepas kediaman mereka dinaiki air akibat banjir.
A
A
A

IPOH - Jumlah mangsa banjir di Perak terus meningkat kepada 242 orang daripada 65 keluarga sehingga jam 8 pagi pada Isnin.

Kesemua mangsa ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) masing-masing di daerah Hilir Perak dan Muallim.

Mangsa banjir berkenaan membabitkan 58 lelaki dewasa, 71 wanita dewasa, 105 kanak-kanak, tujuh warga emas dan seorang kurang upaya (OKU).

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri dalam satu kenyataan memaklumkan, mangsa banjir di Hilir Perak menunjukkan pertambahan apabila satu PPS baharu iaitu di Dewan Bandaran Teluk Intan dibuka malam tadi (Ahad).

"PPS Dewan Bandaran Teluk Intan menempatkan 63 mangsa daripada 19 keluarga dari Kampung 7 1/2 Lorong Mesra, Batu 9 Changkat Jong, Batu 10 Jalan Bidot dan Batu 15 Kampung Ayer Hitam.

"Hujan lebat berterusan menyebabkan kediaman mereka dinaiki air, operasi menyelamat dilakukan dengan memindahkan mangsa ke PPS yang dibuka pada jam 9 malam tadi bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku," katanya.

Menurut kenyataan sama, jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS Sekolah Menangah Abdul Rahman Talib, Changkat Jong turut meningkat kepada 140 berbanding 118 orang.

"Jumlah itu melibatkan 35 keluarga selepas kediaman masing-masing di Batu 7 Jalan Changkat Jong, Batu 7 1/2, Kampung Batu 8 Lorong Kedah, Kampung Baru Batu 8, Kampung Batu 9 dan Batu 10 di sini, dinaiki air," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pertambahan mangsa banjir direkodkan di Muallim disebabkan limpahan air Sungai Bernam, Sungai Slim dan Sungai Trolak susulan hujan lebat berterusan.

Seramai 39 mangsa daripada 11 keluarga yang merupakan penduduk dari Kampung Kuala Slim ditempatkan di PPS berkenaan yang dibuka sejak jam 7 petang, pada Ahad.