PRN Sarawak: GPS menang DUN Mulu

Gerawat diumum sebagai pemenang DUN Mulu dengan majoriti 2,875 undi. - Foto Bernama
Gerawat diumum sebagai pemenang DUN Mulu dengan majoriti 2,875 undi. - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Keputusan terakhir bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mulu menyaksikan penguasaan mutlak Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 apabila gabungan politik itu membolot 76 daripada 82 kerusi yang dipertanding.

Berdasarkan keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), calon GPS Datuk Gerawat Gala diumum sebagai pemenang DUN Mulu dengan majoriti 2,875 undi.

Beliau yang memperoleh 3,731 undi menewaskan calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Profesor Dr Son Radu yang mendapat 856 undi, Roland Engan daripada PKR (810 undi) dan Richard Ibuh yang mewakili Parti Bumi Kenyalang (PBK) (199).

Pada Sabtu malam, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, pengumuman keputusan bagi DUN Mulu ditangguhkan ekoran faktor keselamatan kerana petugas pilihan raya yang menaiki helikopter untuk membawa peti undi ke pusat penjumlahan rasmi undi berdepan cuaca buruk selain terputus perhubungan jalan darat.

ARTIKEL BERKAITAN: Keputusan DUN Mulu ditangguh akibat cuaca buruk

Kemenangan di 76 daripada 82 kerusi DUN yang dipertanding pada PRN12 sekali gus memperbaiki pencapaian GPS sewaktu bertanding atas tiket Barisan Nasional dalam PRN ke-11 pada 2016 iaitu 72 kerusi.

PSB pula muncul sebagai kuasa pembangkang baharu di Sarawak selepas menang di empat kawasan iaitu Batu Lintang, Engkilili, Bawang Assan dan Ba’kelalan.

DAP, yang sebelum ini mendominasi blok pembangkang negeri selama beberapa penggal, kini hanya mampu mengekalkan dua kerusi iaitu Padungan dan Pending. - Bernama

Artikel Berkaitan: