PRN Sarawak: Menang tipis, Ba'Kelalan kekal milik Baru Bian

Baru Bian
Baru Bian
A
A
A

MIRI - Baru Bian, yang bertanding sebagai calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12, berjaya mengekalkan kemenangan beliau di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ba'Kelalan.

Keputusan muktamad itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Ba'kelalan Joseph Ganang Surang di Pusat Penjumlahan Undi di bangunan lama Pejabat Daerah Lawas, di Pekan Lawas yang terletak kira-kira 241 kilometer melalui jalan darat dari Miri.

Baru memperoleh majoriti 680, apabila menang dengan 2,687 undi menewaskan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Sam Laya yang mendapat 2,007 undi.

Tiga lagi pencabarnya, calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Peter Asut mendapat 110 undi; Martin Samuel Labo daripada PKR (57 undi) dan calon Bebas, Agnes Padan menerima hanya 55 undi, menjadikan masing-masing kehilangan wang deposit.

Kemenangan Baru pada PRN kali ini menjadikan beliau dipilih menjadi wakil rakyat di Ba’kelalan untuk penggal ketiga selepas PRN 2011 dan 2016.

Pada PRN 2016, Baru yang bertanding di atas tiket PKR menewaskan calon Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), yang kini dijenamakan semula sebagai Parti Demokratik Progresif (PDP), juga dengan majoriti 538 undi. - Bernama

Artikel Berkaitan: