Lelaki hilang ditemui mandi sungai

Mangsa (tengah) ditemui orang kampung ketika sedang mandi sungai di Kampung Air Musang, Gerik pada jam 2.30 petang hari ini.
Mangsa (tengah) ditemui orang kampung ketika sedang mandi sungai di Kampung Air Musang, Gerik pada jam 2.30 petang hari ini.
A
A
A

GERIK - Gara-gara melarikan diri daripada berubat sakit mistik, seorang pemuda hilang semalaman di dalam hutan belakang rumah keluarganya di Hutan Tanjung Kekabu, Pahat, di sini sebelum ditemui semula petang tadi.

Mangsa, Muhammad Farid Mohammad, 28, yang merupakan seorang penganggur dan berasal dari Tanah Merah, Kelantan, difahamkan memberi alasan untuk ke tandas sewaktu proses berubat sebelum dipercayai melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, pada 13 Mac lalu, polis ada menerima maklumat daripada ahli keluarga mangsa memaklumkan mangsa datang ke rumahnya di Kampung Tanjung Kekabu Pahat, di sini kerana mahu berubat sakit mistik.

Menurutnya, semasa proses pengubatan berlangsung lebih kurang jam 4 petang, mangsa dipercayai hilang melarikan diri ke dalam hutan belakang rumah pengadu.

"Susulan itu, pengadu dan penduduk kampung telah berusaha menjejaki mangsa sehingga lewat malam namun gagal ditemui.

"Berikutan itu, pihak kami dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Balai Bomba dan Penyelamat Gerik dengan kekuatan anggota keseluruhan 23 orang dibantu 15 orang awam telah menubuhkan satu pasukan mencari dan mengesan mangsa bermula dari lokasi terakhir mangsa ditemui," katanya kepada media di sini hari ini.

Ismail berkata, operasi mencari dan menyelamat itu dimulakan pada jam 8 pagi hari ini dengan menumpukan kawasan tinggalan mangsa dan kawasan berhampiran sumber air.

Menurutnya, inisiatif pencarian mangsa diteruskan sehingga jam 2.30 petang apabila pihaknya menerima maklumat mangsa yang hilang kembali ditemui sedang mandi sungai di Kampung Air Musang, di sini.

Artikel Berkaitan:

"Sewaktu ditemui, mangsa berada dalam keadaan sihat, namun terdapat kesan calar di badan akibat tidak memakai baju.

"Ketika ini, mangsa masih berada di rumah pengadu dan disyaki mempunyai masalah mental," katanya.