Nelayan warga Myanmar dikhuatiri lemas bot karam

Keadaan bot nelayan yang karam di perairan Kuala Kuantan di sini pada Jumaat.
Keadaan bot nelayan yang karam di perairan Kuala Kuantan di sini pada Jumaat.
A
A
A

KUANTAN - Seorang nelayan warga Myanmar dikhuatiri lemas manakala empat yang lain berjaya diselamatkan dalam kejadian bot karam di perairan Kuala Kuantan di sini pada Jumaat.

Bot nelayan kelas C yang dinaiki nelayan asing berusia 25 hingga 37 tahun itu dilaporkan karam kira-kira 3.8 batu nautika akibat dipukul ombak.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, empat mangsa diselamatkan nelayan tempatan yang berada sekitar lokasi kejadian manakala seorang lagi hilang.

Menurutnya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Pahang mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (carilamat) bermula jam 4.15 petang Jumaat selepas menerima laporan daripada pemilik bot.

"Bot ronda maritim yang beroperasi di sekitar lokasi berdekatan segera diatur gerak bagi melaksanakan operasi carilamat.

"Maklumat turut disalurkan kepada komuniti nelayan tempatan termasuk beberapa rakan pemilik bot yang turut membantu dalam operasi pencarian," katanya melalui satu kenyataan pada Sabtu.

Maritim Malaysia Pahang membuka bilik gerakan operasi carilamat seorang nelayan warga Myanmar yang dikhuatiri lemas dalam kejadian bot karam di Perairan Kuala Kuantan di sini, pada Jumaat.
Maritim Malaysia Pahang membuka bilik gerakan operasi carilamat seorang nelayan warga Myanmar yang dikhuatiri lemas dalam kejadian bot karam di Perairan Kuala Kuantan di sini, pada Jumaat.

Amran berkata, operasi ditangguhkan pada jam 7 petang Jumaat dan disambung semula jam 7 pagi Sabtu.

Artikel Berkaitan:

"Operasi hari ini turut melibatkan pesawat udara Maritim dengan keluasan sektor pencarian 178 batu nautika persegi namun setakat ini masih gagal ditemui," katanya.

Tambah beliau, Maritim sentiasa menasihatkan bot nelayan tempatan terutama bot kecil supaya lebih berwaspada dengan amaran angin kencang dan laut bergelora ketika ini.

"Sebarang maklumat berkaitan kejadian kecemasan kegiatan jenayah di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999," katanya.