Guardiola lega bebas Covid-19

Guardiola
Guardiola
A
A
A

PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola mampu menarik nafas lega menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Newcastle United pada Ahad selepas ujian Covid-19 menunjukkan dia negatif.

Sebelum itu, Guardiola terpaksa membatalkan sidang akhbar praperlawanan selepas keputusan ujian yang dilakukan awal pada hari yang sama belum diketahui.

Bagaimanapun, ujian susulan PCR membuktikan Guardiola boleh untuk mengendalikan pasukannya dalam pertemuan di St James Park nanti.

Aksi tersebut adalah satu daripada lima perlawanan EPL yang masih lagi boleh dijalankan seperti biasa hujung minggu ini tatkala beberapa aksi lain ditangguhkan akibat peningkatan mendadak bilangan kes Covid-19 di Britain.

“Semua pemain dalam keadaan baik kecuali Ferran (Torres) yang mengalami kecederaan.

"Joao Cancelo kembali selepas penggantungan dan kami akan berkunjung ke Newcastle dengan semua orang bersedia untuk bermain,” kata Guardiola.

Guardiola yang ibunya meninggal dunia akibat Covid-19 tahun lalu, lantang bersuara mengenai keperluan setiap pemainnya dan orang ramai secara amnya untuk sentiasa berhati-hati.

“Saya bimbang, bukan kerana perlawanan kami dibatalkan atau saingan liga ditangguh tetapi kerana dalam masyarakat virus itu ada di sini dan orang ramai menderita.

Artikel Berkaitan:

“Sesetengah orang, kakitangan pasukan sudah dijangkiti dan kami bercakap dengan pemain hampir setiap hari dan memberitahu mereka untuk berhati-hati - kekal selamat, kekal sihat, (pakai) topeng dan jaga jarak sosial,” ujarnya.