Kipre Tchetche kembali ke pangkuan skuad Penyu

Kipre Tchetche
Kipre Tchetche
A
A
A

DESAS-desus mengenai penghijrahan bekas penyerang import Kedah Darul Aman FC, Kipre Tchetche ke skuad Penyu akhirnya terjawab apabila Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd mengumumkan pemain itu sah menjadi milik mereka.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ab Rasid Jusoh berkata, pemain kelahiran Ivory Coast itu telah menandatangani kontrak selama setahun bagi membantu TFC mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Menurutnya, kehadiran Tchetche diibaratkan sirih pulang ke gagang memandangkan beliau pernah bersama skuad kendalian Nafuzi Zain dari 2017 hingga 2019.

"Nama Kipre Tchetche bukan asing bagi peminat bola sepak Terengganu, bahkan beliau amat dihargai dan disenangi peminat negeri ini.

"Kami percaya Tchetche akan membantu menajamkan jentera di bahagian serangan, sekali gus membantu skuad Penyu mencapai misi merangkul kejuaraan yang belum tercapai," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Ab Rasid berkata, pemain berusia 34 tahun itu akan kembali menyarung jersi kegemaran beliau iaitu nombor 23, seperti yang digunakan ketika bersama skuad Penyu sebelum ini.

Selain Tchetche, TFC Bhd terdahulu telah mendapatkan khidmat penyerang kebangsaan Liberia, Kpah Sherman dan menaikkan pangkat Jordan Mintah daripada pasukan Terengganu FC ll (TFC ll) ke TFC bagi memperkuatkan jentera serangan.

Ia pastinya mewujudkan persaingan sengit dan hangat antara ketiga-tiga pemain dalam perjuangan merebut tempat dalam kesebelasan utama skuad Penyu. - Bernama

Artikel Berkaitan: