Remaja hilang kembali ke pangkuan keluarga

Laporan Sinar Harian pada 9 Mei lalu.
Laporan Sinar Harian pada 9 Mei lalu.
A
A
A

JEMPOL - Seorang remaja perempuan, M Tavanes Vary berusia 18 tahun yang didakwa hilang sejak April lepas sudah kembali ke pangkuan keluarganya, pada Sabtu lalu.

Perkara itu dimaklumkan oleh bapanya, P Mohan, 42, yang turut meluahkan rasa gembira dan lega apabila anak gadisnya itu selamat.

Katanya, Tavanes menghubungi isterinya A Laletha, 41, kira-kira jam 5.30 petang Jumaat dan meminta mengambilnya di Kulai, Johor.

"Kami sampai di Kulai awal pagi Sabtu dan mendapati dia berada dalam keadaan baik, namun akan dibawa menjalani pemeriksaan kesihatan bagi memastikan dia benar-benar sihat mental dan fizikal," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Mengulas mengenai individu yang tidak dikenali mengambil kesempatan terhadap kehilangan anaknya itu sebelum ini dengan meminta wang, Mohan berkata, perkara itu diserahkan kepada pihak polis.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Tavanes didapati hilang pada 3 April lepas ketika berada di kedai bunga milik keluarganya di Bahau.

Lebih mengecewakan keluarga gadis ini apabila terdapat individu mendakwa mengetahui keberadaan anaknya itu tetapi dengan syarat perlu membuat bayaran RM10,000.

Kehilangan anak bongsu daripada dua beradik itu bukanlah pertama berlaku sebaliknya dia pernah hilang pada 13 Mac lepas dan ditemui di Kulai, Johor tiga hari kemudian dipercayai dibawa individu yang tidak dikenali.