Mangsa banjir di Kelantan, Pahang terus meningkat malam ini

Penduduk setempat Ubaidillah Rosli, 29, meninjau stesen siren amaran awal banjir selepas peningkatan air Sungai Nal ketika tinjauan fotoBernama di Kampung Kuala Nal hari ini. -Foto Bernama
Penduduk setempat Ubaidillah Rosli, 29, meninjau stesen siren amaran awal banjir selepas peningkatan air Sungai Nal ketika tinjauan fotoBernama di Kampung Kuala Nal hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir di Kelantan, Terengganu dan Pahang terus meningkat dengan 1,019 mangsa daripada 230 keluarga ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) di sekitar negeri berkenaan setakat jam 8 malam ini berbanding 635 mangsa daripada 131 keluarga, petang tadi.

Di PAHANG, Maran dan Raub, turut dinaiki air susulan hujan yang tidak henti-henti menyebabkan seramai 218 mangsa daripada 60 keluarga dipindahkan ke 11 PPS.

Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat melaporkan lima PPS beroperasi di Maran iaitu di Balai Penerangan UMNO Pekan Sungai Jerik yang menempatkan 65 mangsa daripada 16 keluarga, Dewan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Rancangan (JKKR) Jengka 14 (13 mangsa, tiga keluarga), Dewan Serbaguna Sungai Jerik (13 mangsa, empat keluarga), Dewan JKKR Jengka 11 (sembilan mangsa, tiga keluarga) dan Dewan UMNO Ulu Jempol (lapan orang, satu keluarga).

Majoriti mereka adalah penduduk sekitar Sungai Jerik yang petempatan mereka mula dilanda banjir apabila sungai berhampiran melimpah, yang turut menyebabkan Kuil Sri Marathandavar dinaiki air.

Sementara di Raub, enam PPS dibuka iaitu di Balai Raya Kampung Pamah Rawas (45 mangsa, 15 keluarga), Balai Raya Kampung Kuala Keloi (21 mangsa, tujuh keluarga) Balai Raya Kampung Pamah Kulat (15 mangsa, tiga keluarga), Sekolah Kebangsaan Tanjung Putus (13 mangsa, tiga keluarga), Surau Kampung Peruas (12 mangsa, empat keluarga) dan Balai Raya Kampung Bukit Pampong (empat mangsa, satu keluarga).

Ketua Polis Daerah Raub, Supt Kama Azural Mohamed berkata, mereka terdiri daripada penduduk berhampiran sungai yang rumah mereka sudah dinaiki air atau menetap di kawasan rendah yang dipindahkan sebagai langkah berwaspada jika banjir berlaku malam ini memandangkan hujan masih berterusan.

Di KELANTAN, jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS terus menunjukkan peningkatan kepada 735 mangsa daripada 156 keluarga berbanding 548 mangsa daripada 108 keluarga, pada petang tadi.

Pegawai Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Kelantan, Kapt Mohd Hanif Omar berkata, 10 PPS dibuka melibatkan iaitu enam di Kuala Krai, dua di Gua Musang dan masing-masing satu di Jeli dan Tanah Merah.

Artikel Berkaitan:

Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir menyaksikan sedikit pertambahan jumlah mangsa kepada 66 orang daripada 14 keluarga setakat jam 8 malam ini daripada 63 orang daripada 13 keluarga pada petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu dalam satu kenyataan memaklumkan mangsa di Dewan Sivik Air Putih, Kemaman meningkat kepada 37 mangsa daripada 30 mangsa petang tadi manakala di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja, Dungun pula jumlah mangsa kekal 29 orang.

Dalam pada itu Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan paras air Sungai Tembeling di Jerantut dan Sungai Kechau di Lipis Pahang; Kampung Jenob dan Sungai Golok, Tanah Merah di Kelantan telah melebihi paras bahaya dan sedang meningkat. - Bernama