Ahli politik Brazil, Datuk Bandar selesaikan perbalahan di gelanggang MMA

Da Silva (kanan) menghayun tendangan padu ke betis Datuk Bandar Borba, Simao Peixoto dalam pertarungan MMA pada Ahad lalu. - Agensi
Da Silva (kanan) menghayun tendangan padu ke betis Datuk Bandar Borba, Simao Peixoto dalam pertarungan MMA pada Ahad lalu. - Agensi
A
A
A

BRASILIA - Seorang Datuk Bandar dan bekas kaunselor majlis perbandaran di sebuah bandar kecil di utara Brazil mempunyai cara tersendiri menyelesaikan perbalahan antara mereka.

Kedua-duanya menyelesaikan perbalahan yang wujud selama berbulan-bulan di dalam gelanggang MMA atau seni bela diri campuran pada Ahad lalu.

Lebih menarik, pertarungan tiga pusingan antara Datuk Bandar Borba, Simao Peixoto dan Erineu Alves Da Salva turut disiarkan secara langsung di Facebook.

Pertarungan itu diadakan di sebuah dewan sekolah menengah dan turut disaksikan orang ramai serta diadili oleh pengadil profesional.

Sebelum ini, Peixoto dan Da Silva terlibat dalam pertelagahan mengenai projek pelancongan di bandar tersebut yang menyaksikan kedua-duanya saling mencabar di akhbar dan media sosial.

Peixoto, 39, akhirnya berjaya mengalahkan Da Silva, 44, dengan keputusan 'split decision' dan kedua-duanya berdamai selepas pertarungan berakhir.

Split decision ialah apabila dua daripada tiga juri memenangkan satu petarung, manakala juri ketiga memberi kemenangan kepada petarung lain. - Agensi

Artikel Berkaitan: