Penyakit ASF pada babi hutan dikesan di Perak, Pahang

Penularan wabak tersebut bagaimanapun terkawal dan jangkitan hanya berlaku kepada babi hutan. - Foto 123rf
Penularan wabak tersebut bagaimanapun terkawal dan jangkitan hanya berlaku kepada babi hutan. - Foto 123rf
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengesahkan kejadian penyakit African Swine Fever (ASF) pada babi hutan yang berlaku di Bidor dan Sungkai, Perak serta Jerantut, Pahang.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, DVS berkata, ujian yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) di Ipoh, Perak dengan menggunakan teknik Real-Time Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dan sequencing analisis menunjukkan virus ASF adalah strain Genotype II.

Menurut kenyataan itu, penularan wabak tersebut bagaimanapun terkawal dan jangkitan hanya berlaku kepada babi hutan.

“Tiada ladang babi komersil yang terlibat. Pemindahan keluar babi dan produk babi dari zon pemantauan (survelan) sentiasa dipantau ketat,” kata kenyataan tersebut.

DVS memaklumkan tindakan pengawalan dan pencegahan rebakan penyakit ASF telah dilaksanakan antaranya termasuklah memperketatkan syarat pindah babi dan produk babi di seluruh Semenanjung Malaysia, libat urus serta kempen kepada pengusaha ladang babi komersil untuk memperketatkan biosekuriti ladang.

Katanya, pemantauan, pemeriksaan klinikal dan persampelan di ladang babi komersil turut dijalankan di kawasan terjangkit

“Survelan lapangan akan terus dipergiat dari semasa ke semasa dan penyiasatan serta persampelan pada babi hutan yang ditemui mati. Survelan dan pemantauan klinikal juga dilakukan di outlet jualan dan rumah sembelih babi seluruh Negara.

“Kerjasama dengan pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan agensi terlibat dalam perladangan sawit Malaysia turut dilakukan,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, DVS menasihatkan penternak babi dan orang ramai supaya tidak panik kerana penyakit ASF adalah tidak zoonotik dan tidak berjangkit pada manusia.

Katanya, penternak dan orang awam dipohon supaya bekerjasama dan melaporkan segera sebarang kematian luar biasa pada babi hutan, babi kampung dan babi komersil kepada Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah (PPVD) dan Pejabat Perkhidmatan Veterinar Negeri yang berdekatan.

Laporan juga boleh dilakukan terus ke Hotline Bilik Pengurusan Krisis Jabatan Perkhidmatan Veterinar Putrajaya menerusi talian 03-8870 2041.