Banjir: Gua Musang buka dua PPS

No Image Caption
A
A
A

GUA MUSANG – Dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di buka di daerah ini melibatkan 27 mangsa membabitkan empat keluarga awal pagi Jumaat.

Menurut laman infobencana.jkm, dua PPS berkenaan ialah di Sekolah Kebangsaan Felda Chiku 7 dan Sekolah Kebangsaan Limau Kasturi 1, Gua Musang.

Mangsa yang dipindahkan ialah tiga lelaki dewasa, tujuh perempuan dewasa dan tujuh kanak-kanak lelaki dan 10 kanak-kanak perempuan.

Laman publicinfo.banjir turut memaklumkan, sehingga jam 9 pagi Jumaat, lima air sungai utama di Gua Musang menunjukkan trend menaik antaranya ialah Sungai Nenggiri di Belatop, 673.99 dan Sungai Nenggiri di Bertam 47.23, walaupun masih berada di paras normal.

Tiga sungai lain ialah Sungai Relai di Jalan Felda Aring 114.47 melebihi paras berjaga-jaga, (berjaga-jaga 113), Sungai Aring di Jalan Felda Aring 69.67 (berjaga-jaga 68.00) dan Sungai Lebir di Kuala Koh melebihi paras amaran 72.07 (amaran 71.00).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo ketika dihubungi Sinar Harian berkata, pihaknya berharap orang ramai dapat memberi kerjasama untuk berpindah jika ada keperluan sebagaimana diarahkan agensi yang terlibat.

Katanya, terdapat beberapa buah kampung berhampiran sungai berkenaan dan berisiko dilanda banjir jika keadaan hujan berterusan.

“Oleh itu kita berharap orang ramai jangan tunggu air naik baru berpindah, ia akan menyukarkan operasi menyelamat jika air naik dengan cepat. Patuhi arahan agensi yang terlibat supaya dapat memudahkan urusan dan operasi menyelamat,” katanya.

Artikel Berkaitan: