Benarkan semula pengeluaran pasir dan batu

Adly Zahari
Adly Zahari
A
A
A

MELAKA TENGAH - Kerajaan negeri membenarkan semula pengeluaran pasir dan batu di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) dengan menetapkan kawasan seluas 200 hektar.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, bagi memastikan syarat itu diikuti, pihaknya juga mengumumkan tiada pembukaan kawasan baharu bagi kerja-kerja pengambilan pasir atau batu, malah aktiviti moratorium diberikan di kawasan yang sebelum ini pernah mendapat lesen dan kelulusan itu selaras dengan Seksyen 28 Akta Perhutanan Negara 1984 yang telah diterima pakai oleh negeri ini melalui Enakmen Perhutanan Negara (Penerimapakai) 1985.

Menurutnya, Perbadanan Ketua Menteri (CMI) diberikan hak eksklusif bagi menjalankan kerja-kerja mengeluar, memproses, mengalih, menyimpan, menjual bahan batuan (pasir), menjalankan kerja-kerja memindah dan mengeluarkan bahan batuan (pasir) di atas Rizab HSK sehingga 31 Disember 2025.

Katanya, CMI juga akan menerima bayaran insentif hasil daripada pengusaha atau kontraktor yang dilantik setara dengan jumlah bayaran kadar royalti yang ditetapkan dalam Fi Bahan Batuan (Pasir dan Granit), Kaedah-Kaedah Tanah Melaka 1966 atau sebarang pindaan yang berkuat kuasa.

"Semua lesen yang diluluskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 11 Disember 2013 dan 30 Oktober 2014 dimaklumkan terbatal dan semua permohonan pengeluaran pasir dalam HSK perlu dikemukakan kepada CMI terlebih dahulu.

"Selain itu kita juga menetapkan kenaikan bayaran Ses Pembangunan Hutan bagi Kumpulan Wang Pembangunan Hutan daripada RM1 kepada RM3 setiap meter padu," katanya.

Adly berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di pejabatnya di Seri Negeri Ayer Keroh, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Adly yang juga ADUN Bukit Katil berkata, Melaka mencatatkan kedatangan seramai 17.02 juta pelancong dalam dan luar negara sepanjang tahun lalu, sekali gus berjaya mencapai sasaran 17 juta pelancong pada tahun itu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 11.3 juta atau 66 peratus merupakan pelancong tempatan manakala selebihnya iaitu 5.7 atau 33 peratus merupakan pelancong asing.

Katanya, pelancong dari China mencatatkan angka tertinggi iaitu seramai 1.7 juta orang, diikuti pelancong dari Singapura (1.6 juta); Indonesia (813,400); Taiwan (141,600) dan Vietnam (119,883).

"Walaupun agak sukar untuk capai sasaran tahun ini, tetapi kita opitimis dengan melakukan pelbagai inisiatif termasuk promosi Tahun Melawat Melaka 2019.

"Kerajaan negeri juga akan memastikan pelancongan dalam bidang pendidikan dapat dipertingkatkan sebagai contoh muzium di negeri ini yang sering dikunjungi golongan murid, pelajar dan penuntut institusi pengajian tinggi akan terus menerima lawatan," katanya.