40 individu didakwa ceroboh Hutan Simpan Bukit Enggang

Antara 40 tertuduh yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Baling atas kesalahan pencerobohan Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik.
Antara 40 tertuduh yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Baling atas kesalahan pencerobohan Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik.
A
A
A

BALING - Seramai 40 individu termasuk 35 warga asing dihadapkan ke Mahkamah Seksyen di sini atas pertuduhan melakukan pencerobohan haram Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik Januari lalu.

Dua warga tempatan iaitu Poh Chu Yuan, 21, dan Ho Chung Meng, 54, masing-masing mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Najwa Che Mat atas pertuduhan yang dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa terhadap mereka.

Manakala, tiada pengakuan direkodkan ke atas tiga lagi warga tempatan, Wong Hing Nam, 59, Tai Chan Weng, 56, dan seorang wanita, Wong Siew Lin, 58, serta kesemua 35 warga asing kerana tidak memahami Bahasa Malaysia.

Warga asing yang dituduh terdiri daripada dua warganegara China, 31 warganegara Myanmar dan dua warganegara Nepal berusia antara 18 hingga 50 tahun.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati memasuki kawasan hutan tertutup iaitu Kompartmen 12, Hutan Simpan Bukit Enggang tanpa memiliki permit memasuki hutan simpanan kekal iaitu Borang 6 antara 31 Januari 2023 jam lebih kurang 9 malam hingga 1 Februari jam lebih kurang 3 pagi.

Disebabkan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan bawah subseksyen 47 (1) Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] yang diterima pakai oleh Negeri Kedah di bawah Enakmen (Pemakaian) Perhutanan Negara 1985 dan boleh dihukum bawah subseksyen 47 (4) Enakmen yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 kepada lima tertuduh warga tempatan dengan seorang penjamin manakala dua lagi warganegara China dibenarkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan dua orang penjamin serta passport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Manakala 33 warga asing lain tidak ditawarkan sebarang jaminan kerana sedang menjalani hukuman penjara bawah Akta Imigresen atas kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Wan Hazlin Suraya Wan Sharif, Noor Husnita Mohd Radzi dan Naliatul Huzaimi Ab Rasip.

Kesemua lima tertuduh warga tempatan dan dua warganegara China diwakili Peguam Bela, Lee Keng Fatt.

Mahkamah menetapkan 11 Jun depan sebagai sebutan semula kes bagi lantikan jurubahasa.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seramai 52 lelaki ditahan kerana disyaki melakukan penerokaan unsur nadir bumi (REE) secara haram di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik Februari lalu.