Sokong masukkan sesi nasihat kaunseling sebagai hukuman

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyokong kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof bahawa pindaan akan dibuat dalam Kanun Keseksaan (Akta 574) untuk memasukkan hukuman lebih berat terhadap pesalah menghina agama dalam sesi Parlimen kali ini.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, selain penambahan hukuman yang lebih berat, kerajaan perlu melaksanakan program penerangan untuk merungkaikan sebarang salah faham terhadap agama Islam seperti yang dinyatakan di dalam media sosial.

Menurutnya, proses penerangan perlu dijadikan sebahagian daripada perkara yang wajib dijalani mereka yang didapati bersalah agar hukuman yang dikenakan dapat memberi kesan yang positif terhadap individu serta masyarakat umum.

“Ini termasuklah proses kaunseling dan nasihat golongan pakar yang dilantik pihak berkuasa bagi memastikan kes-kes penghinaan agama yang berpunca dari salah faham dapat ditangani sebaiknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan tubuh Unit Pemantau Isu Hina Islam

“Elemen-elemen sebegini harus dijalankan secara selari dengan hukuman di bawah undang-undang Malaysia seperti Seksyen 298A (1) Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, usaha itu dapat menangani kes penghinaan agama dari terus berleluasa untuk jangka masa panjang.

Dalam perkembangan berkaitan, ABIM memuji usaha tegas pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengambil tindakan secara profesional dan adil terhadap mereka yang melakukan kesalahan tersebut bagi memastikan kestabilan dan keharmonian masyarakat sentiasa terpelihara.

Artikel Berkaitan: