565 kes maut akibat kemalangan elektrik sejak 2002

Mohd Elmi (kiri) bersama Suraya beramah mesra bersama keluarga yang menerima kemudahan menaik taraf sistem pendawaian elektrik di Sungai Tiang di sini pada Khamis.
Mohd Elmi (kiri) bersama Suraya beramah mesra bersama keluarga yang menerima kemudahan menaik taraf sistem pendawaian elektrik di Sungai Tiang di sini pada Khamis.
A
A
A

PENDANG - Sebanyak 565 kes maut membabitkan 1,130 kemalangan elektrik direkodkan berlaku di Semenanjung dan Sabah sejak tahun 2002.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan dan Operasi Kawasan Suruhanjaya Tenaga (ST), Mohd Elmi Anas, berkata, hasil analisis kes-kes kemalangan elektrik yang disiasat ST mendapati, penyumbang utama kemalangan itu adalah disebabkan senggaraan atau pemasangan elektrik yang tidak sempurna membabitkan 35.7 peratus kes.

Katanya, sebanyak 31 peratus lagi kes berlaku disebabkan kegagalan mematuhi prosedur kerja selamat.

"Contohnya pada tahun ini di Pulau Pinang dan Kedah terdapat empat kes maut membabitkan kemalangan elektrik yang berlaku di tempat kerja.

"Ada antaranya pekerja di kilang dan juga pengawal keselamatan, mereka maut serta-merta selepas terkena renjatan elektrik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Touchpoint TN: tanggungjawab sosial korporat (CSR) TN menaik taraf sistem pendawaian usang 11 rumah pelajar asnaf di Pusat Khidmat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, di sini pada Khamis.

Turut hadir ADUN Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob.

Menurutnya, kesedaran pengguna mengenai keselamatan elektrik sangat penting bagi membantu mengurangkan kes kemalangan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pengguna perlu ditekankan mengenai kepentingan membeli kelengkapan elektrik yang diluluskan ST dan dilekatkan label SIRIM-ST.

"Pengguna juga tidak boleh mengubah suai kelengkapan elektrik yang rosak sekiranya tidak mempunyai kemahiran atau kompeten serta mereka perlu elakkan daripada mengguna kelengkapan elektrik dalam keadaan basah," katanya.

Mohd Elmi berkata, orang ramai juga diingatkan agar tidak menghampiri talian atas elektrik semasa membawa galah yang panjang atau menjalankan aktiviti memotong dahan pokok, mengait buah-buahan, memancing dan sebagainya.

"Pastikan sentiasa menggunakan khidmat kontraktor elektrik yang berdaftar dengan ST bagi melakukan kerja-kerja pendawaian elektrik atau kerja elektrik lain," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Elmi turut memberitahu terdapat sebanyak 30,384 kes usikan pepasangan meter (KUPM) dilaporkan sejak Januari hingga November tahun ini.

Katanya, antara kes KUPM adalah membabitkan pengguna yang tertipu dengan tawaran pihak tertentu untuk menjimatkan elektrik di premis atau rumah mereka dengan memasang alat untuk menjimatkan elektrik.

"Ia akan mengganggu meter TNB dan menunjukkan penggunaan elektrik lebih rendah daripada jumlah sebenar sekali gus menyebabkan kerugian kepada TNB. Tuan rumah atau pemilik boleh dikenakan tindakan undang-undang dibawah Sekyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990.

"TNB boleh menuntut kembali kerugian yang dicatatkan kepada tuan rumah, jadi tuan rumah akan tanggung akibatnya dan bukan pihak yang memasang alat berkenaan.

“Individu yang disabitkan melakukan kesalahan KUPM boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya manakala bagi pengguna bukan domestik, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.