Ambil kira semua pendekatan elak kejadian buli di sekolah

Ahmad Saidi berucap ketika sesi penggulungan Sidang DUN Perak pada Khamis. - Foto Urusetia Dewan Negeri Perak
Ahmad Saidi berucap ketika sesi penggulungan Sidang DUN Perak pada Khamis. - Foto Urusetia Dewan Negeri Perak
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak akan melihat secara menyeluruh termasuk prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak kejadian buli berlaku melibatkan sekolah-sekolah berasrama.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, pihaknya mengambil kira semua pendekatan termasuk mengadakan sesi pengenalan pada awal kemasukan pelajar ke sekolah.

"Bagi kes buli ini, pihak pejabat saya mewakili kerajaan negeri telah mengadakan libat urus bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi melihat SOP ini.

"Kalau boleh sebelum masuk sekolah ada sesi pengenalan untuk pastikan kes buli ini tidak berulang pada masa hadapan. Saya juga mengambil kira semua pendekatan yang diberikan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ini," katanya selepas mendengar cadangan daripada Jamilah Zakaria (BN- Trong) pada sesi penggulungan Sidang DUN Perak pada Khamis.

Sebelum itu, Jamilah mencadangkan JPN untuk mengambil tindakan supaya pelajar yang memasuki asrama diberikan taklimat atau kursus bagaimana untuk mempertahankan diri atau melaporkan kejadian kepada warden asrama bagi mengelak berlakunya kes buli.

Pada masa sama, Ahmad Saidi berkata, seramai 250 guru di Perak direkodkan masih tidak menerima vaksin sehingga 22 November lalu.

Katanya, sebanyak 99.13 peratus guru telah divaksin manakala 93.5 peratus murid telah menerima suntikan di bawah Program Vaksin Anakku.

"Melalui data e-Operasi Kementerian Pendidikan Malaysia, guru-guru yang masih tidak menerima vaksin disebabkan beberapa faktor seperti mempunyai sejarah kesihatan dan alahan yang teruk, menghidap penyakit kronik, mengandung, menyusukan anak serta merancang kehamilan.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai langkah pencegahan, bagi guru yang masih belum divaksin ini, mereka tetap perlu hadir ke sekolah dan tidak dibenarkan berada di bilik atau kawasan yang sama dengan murid atau warga sekolah yang telah menerima vaksin lengkap," ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Saidi berkata, guru-guru berkenaan turut diarahkan untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian serta tidak dibenarkan secara bersemuka selain mematuhi SOP.

"Bagi memastikan guru-guru yang layak menerima vaksin namun enggan berbuat demikian, JPN Perak telah melaksanakan beberapa pendekatan antaranya menguatkuasakan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan (4) Tahun 2021, mengenai Dasar Pelaksanaan Imunisasi Covid-19 bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan di seluruh sekolah.

"Melalui pekeliling ini, mereka bertanggungjawab untuk mendapatkan dos imunisasi untuk memastikan persekitaran tempat kerja yang selamat dan penyampaian perkhidmatan serta produktiviti perkhidmatan awam berada pada tahap yang optimum," jelasnya.

Beliau berkata, mana-mana pegawai yang gagal mematuhi arahan ini boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan bermula 1 November lalu.

"Ia selaras dengan syarat-syarat perkhidmatan Fasal (2) Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan, selain terikat dengan Surat Aku Janji yang ditandatangani oleh pegawai di bawah sub peraturan 20 (3) Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2012," katanya.