[VIDEO] Bot pancung karam: 11 PATI lemas, 25 masih hilang

Mayat PATI yang ditemui terdampar di pantai Tanjung Balau selepas bot dinaiki karam di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi pada Rabu.
Mayat PATI yang ditemui terdampar di pantai Tanjung Balau selepas bot dinaiki karam di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi pada Rabu.
A
A
A

KOTA TINGGI - Bot pancung membawa 50 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang karam di perairan Tanjung Balau di sini pada awal pagi Rabu dipercayai dari Lombok, Indonesia.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Kapten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa berkata, dalam insiden kira-kira jam 4.30 pagi itu, 11 mangsa lemas dan 25 lagi masih hilang manakala 14 mangsa dilaporkan selamat.

Katanya, mangsa yang terselamat berusia antara 20 hingga 50 tahun membabitkan 12 lelaki dan dua wanita manakala yang maut membabitkan tujuh lelaki dan empat wanita.

"Berdasarkan analisis, kebanyakan bot membawa PATI ke perairan Johor Timur termasuk di Tanjung Balau ini datang dari kepulauan Batam, tetapi menurut mangsa yang selamat, bot itu dari Lombok Indonesia.

"Bagaimanapun mereka dipercayai transit di kepulauan Batam untuk menaiki sebuah lagi bot pancung dengan enjin berkelajuan tinggi ke perairan Johor Timur.

"Mengikut pengalaman sebelum ini, kebiasaannya PATI yang datang dari Kepulauan Batam perlu membayar RM2,000 hingga RM5,000 untuk masuk atau keluar melalui perairan Johor Timur," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 10 lemas, bot bawa PATI karam di Tanjung Balau

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) di Pantai Tanjung Balau di sini pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Simon (kiri) berbincang tentang operasi mencari dan menyelamat PATI yang masih hilang selepas bot dinaiki karam di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi pada Rabu.
Simon (kiri) berbincang tentang operasi mencari dan menyelamat PATI yang masih hilang selepas bot dinaiki karam di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi pada Rabu.

Hadir sama, Pegawai Memerintah Rejimen ke-7 Artileri Diraja Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Kolonel Mohamed Ridzal Radzuan.

Ditanya sama ada 25 mangsa yang masih hilang itu dipercayai selamat atau lemas, Simon berkata, perkara itu tidak dapat disahkan kerana operasi SAR akan diteruskan empat hingga 10 hari bergantung kepada keperluan semasa.

"Saya tidak dapat berikan apa-apa pengesahan setakat ini berhubung sama ada 25 mangsa yang masih hilang itu sudah menyusup masuk melalui jalan darat atau lemas.

"Ini kerana 14 mangsa yang selamat masih trauma dan belum dapat memberi sebarang kenyataan bagi membantu siasatan dijalankan," katanya.

Tambah Simon, 14 mangsa yang selamat akan dikendalikan mengikut prosedur operasi standard (SOP) PATI di mana mereka perlu melakukan ujian saringan Covid-19 dan ditahan di aset ATM di Pengerang sebelum disoal siasat dan diusir ke negara asal mereka.