Tangani segera peningkatan kos bahan binaan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

ALOR SETAR - Agensi berkepentingan termasuk Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) perlu mengambil langkah segera bagi menangani isu kenaikan harga barangan asas pembinaan bagi membantu kontraktor kecil bertahan lama dalam industri itu.

Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kedah, Datuk Mohd Zayad Md Ismail berkata, kerajaan juga perlu mengenal pasti punca kenaikan harga barangan itu dan mengawalnya selain melaksanakan langkah penyelesaian bersifat menyeluruh dan jangka panjang.

“Pihak-pihak berwajib perlu segera mengkaji langkah bagi menangani kesan dan impak kenaikan harga terutama besi dan lain-lain bahan asas binaan. Tindakan pantas ini perlu dilakukan agar kebajikan rakyat terpelihara,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohd Zayad berkata, kenaikan harga menyebabkan kos pembinaan meningkat tujuh peratus, sekali gus mengurangkan margin keuntungan kontraktor terutamanya kontraktor kecil iaitu sekitar 15 hingga 25 peratus.

Beliau berkata, peningkatan harga bahan binaan itu dilihat memberi kesan berbeza kepada kontraktor gred kecil dan besar berdasarkan kuantiti pembelian dan faktor lain seperti peningkatan kos bahan mentah, stok bahan binaan yang terhad serta kos sampingan perniagaan.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan kontraktor kecil khususnya bumiputera yang memegang lesen G1,G2,G3 dan G4 dan bergantung kepada projek-projek berskala kecil dan sederhana sukar bertahan dan meneruskan operasi.

Dalam pada itu, Mohd Zayad berkata, kontraktor kecil bumiputera digesa menubuhkan konsortium dalam kalangan mereka bagi mengatasi masalah mendapatkan bekalan bahan binaan dan mewujudkan persaingan sihat serta memelihara kepentingan mereka.

“Konsortium tersebut perlu dipelbagaikan dengan kemahiran dan kepakaran. Kita kena spesifikkan peranan setiap kontraktor, bukan lagi kontraktor yang umum.

Artikel Berkaitan:

“Konsortium mesti terdiri daripada pakar-pakar yang berbilang dan gabungan ini diharapkan dapat memberi buah fikiran bagaimana untuk terus bersaing dalam pasaran yang semakin berdaya saing ini,” katanya. - Bernama