Isu serangan: Penduduk Sabah jangan gusar

Mazlan (kiri) ketika hadir pada Perhimpunan Khas Sempena Lawatan Kerja di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak hari ini. - Foto Bernama
Mazlan (kiri) ketika hadir pada Perhimpunan Khas Sempena Lawatan Kerja di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Penduduk Sabah tidak perlu gusar atau takut berhubung dakwaan media antarabangsa kemungkinan berlakunya serangan pengganas ke atas negeri itu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, meskipun perkara itu tidak benar, pihaknya telah meningkatkan pemeriksaan dan pemantauan rapi di setiap kawasan negeri terbabit.

Menurutnya, semua elemen Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah diarahkan untuk bersiap siaga dan bekerja seperti biasa bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

"Kita ingin menasihati orang ramai khususnya di Sabah, jangan gusar dan bimbang. Teruskan kerja harian seperti biasa.

"Memang dari segi maklumat yang dapat itu (telah) dimanipulasi sedangkan yang sebenarnya adalah tidak benar. Begitupun pihak polis memang bersiap siaga sekiranya ada apa-apa kemungkinan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Khas sempena Lawatan Kerja Timbalan Ketua Polis Negara ke Kontinjen Perak di sini pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris.

Media antarabangsa pada Khamis lepas melaporkan pertemuan rahsia dihadiri 19 datuk bandar dari Kepulauan Sulu di selatan Filipina merancang untuk merekrut 600 pejuang untuk melancarkan serangan ke atas Sabah.

Perkara itu bagaimanapun telah dinafikan kerajaan Filipina, sumber ketenteraan dan pihak berkuasa negara itu turut menyifatkan laporan media berkenaan sebagai tidak berasas serta palsu.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut Mazlan berkata, pertemuan yang dihadiri pemimpin-pemimpin Kepulauan Sulu itu lebih kepada perbincangan mengenai hal-hal ekonomi dan juga keselamatan setempat.

"Tidak ada berkait pun untuk menyerang Sabah. Jadi, dilihat ada orang atau pihak yang memanipulasikan maklumat tersebut," katanya.