PGA Briged Tengah rampas pelbagai barang bernilai RM97.5 juta

Muhammad Abdul Halim
Muhammad Abdul Halim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah telah menahan 1,119 orang serta merampas pelbagai jenis barang bernilai RM97.5 juta dalam 176 serbuan sejak 1 Januari hingga Selasa.

Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, pihaknya menahan 190 lelaki, empat wanita warga tempatan serta 616 lelaki, 295 wanita dan 14 kanak-kanak warga asing.

"Kesemua individu berusia satu hingga 64 tahun itu ditahan dalam Op Nyah 1, Op Benteng, Op Kontraband dan Op Khazanah," katanya pada sidang akhbar di Briged Tengah PGA di sini pada Rabu.

Muhammad berkata, nilai rampasan Briged Tengah pada tahun ini adalah tertinggi berbanding Briged lain.

"Nilai rampasan melibatkan kenderaan (RM9.1 juta), rokok seludup (RM41.6 juta), arak seludup, ketum (RM38.38 juta), dadah (RM202,650), hidupan, tumbuhan dilindungi (RM120,500), bahan letupan (RM1.48 juta), barangan kawalan seperti padi, beras, minyak diesel (RM2.63 juta), logam, tembaga (RM3.1 juta) wang tunai dan (RM802,137)," katanya.

Beliau berkata, jumlah barang rampasan tahun ini menunjukkan peningkatan mendadak berbanding tahun lalu, di mana RM36 juta dirampas.

“Kita turut menahan 537 individu pada tahun lalu termasuk lebih 300 warga asing,” katanya

Muhammad berkata, sindiket penyeludupan sentiasa menukar modus operandi mereka untuk mengelak ditangkap.

Artikel Berkaitan:

“Taktik mereka semasa pandemik Covid-19 sentiasa berubah dari semasa ke semasa. Bagaimanapun, kita percaya ada penyeludup masih menggunakan bot nelayan kecil untuk menyeludup barangan,” katanya.

Menurut beliau, beberapa pendatang tanpa izin (PATI) turut ditahan selepas mereka berjaya memasuki negara ini.

“Kita juga mengesan penyeludup PATI turut mengiklankan perkhidmatan melalui media sosial,” katanya.

Muhammad berkata, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1963, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007, Akta Pemulihan Hidupan Liar 2010.

"Kita turut melakukan siasatan mengikut Akta Kawal Selia Padi dan Beras, Akta Bahan Letupan 1957, Akta Kesalahan Barang Lusuh 1946, Akta Senjata Api 1971, Akta Kastan dan Eksais 1976 serta Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Muhammad berkata, pihaknya akan terus menjalankan tugas dan tanggungjawab bagi menjaga serta mengawal keselamatan negara juga ketenteraman awam.

"Kita berharap orang awam dapat menjadi mata dan telinga pihak polis dalam menyalurkan maklumat berkaitan kes penyeludupan," katanya.