Tangani isu buli melalui pendidikan akhlak: Mufti

Wan Salim
Wan Salim
A
A
A

GEORGETOWN - Gejala buli di institusi pengajian termasuk sekolah yang masih berleluasa berpunca daripada kegagalan pendidikan agama dan moral.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, gejala itu juga didapati berkait rapat dengan ketandusan nilai akhlak dan kepincangan adab dalam kalangan pelajar.

Sehubungan itu katanya, pihak bertanggungjawab terutama Kementerian Pendidikan perlu mencari jalan penyelesaian segera untuk menangani masalah berkenaan.

"Saya berpandangan gejala ini menunjukkan kurikulum pendidikan agama dan moral yang diguna pakai di sekolah-sekolah kebangsaan kita selama ini gagal atau kurang berkesan dalam pembentukan sahsiah pelajar.

"Mungkin ibu bapa juga patut dipertanggungjawabkan kerana menyerahkan pendidikan moral anak-anak sepenuhnya kepada sekolah," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Bagaimanapun beliau mengakui tidak wajar menuding jari kepada mana-mana pihak dalam masalah ini kerana tanggungjawab pendidikan moral atau akhlak perlu dipikul bersama oleh ibu bapa, sekolah, masyarakat dan media.

Katanya lagi, semua pihak tidak seharusnya memandang remeh terhadap pendidikan agama dan moral kerana terbukti bahawa gejala buli adalah berpunca daripada kekurangan nilai akhlak dan adab pelajar.

"Kementerian Pendidikan perlu berusaha menambah baik kurikulum pendidikan akhlak dan moral di sekolah termasuk dalam konteks amalan atau praktikal supaya lebih berkesan.

Artikel Berkaitan:

"Penyelia asrama perlu dilantik daripada mereka yang berakhlak mulia dan terlatih dalam kemahiran kaunseling supaya dapat menjadi contoh kepada pelajar di samping membimbing dalam pergaulan," katanya.

Polis Perak sebelum ini menjalankan siasatan lanjut berhubung rakaman video kejadian buli membabitkan pelajar dipercayai dari sebuah sekolah di negeri tersebut yang tular di media sosial.

Video berdurasi 10 saat itu tular di media sosial menunjukkan seorang pelajar menumbuk seorang pelajar lain di percayai dalam asrama.

Susulan itu, Jawatankuasa Disiplin Bahagian Pendidikan Menengah Mara menamatkan pengajian 10 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang dikenal pasti terlibat dalam kes berkenaan.

Menurut Ketua Pengarah Mara, Datuk Azhar Abdul Manaf, mesyuarat telah mengkaji kes tersebut dengan teliti dan mengambil keputusan menamatkan pengajian pelajar terbabit berkuat kuasa pada Selasa.