'Kompaun RM1,000 tidak berkesan'

 Hishammuddin pada sidang media sempena Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 di Bangunan Parlimen, pada Sealsa. - Foto Bernama
Hishammuddin pada sidang media sempena Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 di Bangunan Parlimen, pada Sealsa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan kompaun sebanyak RM1,000 terhadap pihak yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342 disifatkan sebagai tidak berkesan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, denda maksimum dikenakan itu tidak memadai dengan kesalahan dilakukan oleh penganjur atau syarikat tertentu dalam mematuhi SOP yang dipertanggungjawabkan kepada mereka.

“Secara peribadi, dengan kelonggaran kita berikan dan kelonggaran yang akan diumumkan selepas ini, banyak syarikat diamanahkan dan dipertanggungjawabkan untuk patuhi SOP ditetapkan.

“Dalam konteks ekonomi, denda sedia ada dengan pulangan syarikat terlibat, jauh begitu tak berkesan atau sebagai usaha untuk menegah kerana syarikat mendapat pulangan berbilion jadi setakat RM1,000 tidak memadai sebab itu ia harus dibentangkan semula ke Parlimen,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 di Parlimen, pada Selasa.

Justeru Hishammuddin mengingatkan pihak penganjur dan syarikat yang mengadakan sebarang majlis agar menunaikan janji mereka untuk memastikan tiada pelanggaran SOP berlaku dalam usaha membendung penularan pandemik Covid-19.

“Inilah dia janji-janji pihak yang minta kebenaran nak anjur (majlis) tetapi tidak mampu mengawalnya...bila nakkan sesuatu diumumkan semua boleh (patuh SOP) tetapi akhirnya dari segi pemantauan dan penguatkuasaan ia tidak berjaya,” katanya.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Noor Azmi Ghazali pada Selasa membentangkan rang undang-undang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat bagi meminda Akta 342 yang membolehkan individu ingkar dikompaun sehingga RM10,000 berbanding RM1,000 ketika ini.

Menurut naskhah biru, pindaan di bawah seksyen 25, Rang Undang-Undang Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 itu turut mencadangkan pertubuhan perbadanan yang melakukan kesalahan di bawah peraturan ditetapkan boleh dikompaun sehingga maksimum RM1 juta. - Bernama

Artikel Berkaitan: