Tun M dikecam kerana ‘chopsticks'

Tun Dr Mahathir
Tun Dr Mahathir
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menggunakan contoh amalan makan menggunakan ‘chopsticks’ untuk mengulas mengenai proses asimilasi kaum Cina di Malaysia mendapat kecaman hebat di sosial media pada Isnin.

Selain mempersoalkan kedangkalan contoh tersebut, ramai netizen memberi pendapat hujah digunakan Dr Mahathir itu bertentangan dengan budaya kepelbagaian kaum di Malaysia.

Pengguna Twitter, @AnnaRoshan berkata, penggunaan chopsticks tidak hanya digunakan oleh masyarakat Cina tetapi rakyat Jepun dan Korea.

“Dan kalau saya guna garpu dan senduk dalam kehidupan seharian, jadi adakah saya akan diidentitikan sebagai bersama United Kingdom dan Amerika Syarikat,” katanya menerusi ciapan di Twitter miliknya.

Ketika menjawab soalan wartawan semasa pelancaran bukunya pada Ahad berkenaan kesukaran asimilasi kaum di Malaysia berbanding di Indonesia, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, penduduk Cina di republik tersebut berasimilasi kerana jumlahnya yang secara relatif kecil berbanding di Malaysia.

Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, masyarakat di Cina memelihara komuniti, budaya serta cara hidup mereka dan turut menggunakan amalan makan menggunakan chopsticks sebagai contoh.

“Misalnya, orang Cina makan menggunakan chopstick, mereka tidak makan guna tangan. Mereka tidak menyerap cara orang Malaysia makan.

“Mereka mengekalkan penggunaan chopstick yang merupakan identiti China, bukan Malaysia dan banyak lagi perkara lain,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, pengguna Twitter, @Ishhxo_ berkata, kebudayaan Malaysia terbentuk daripada pengaruh pelbagai kaum termasuk Melayu, India dan Cina dan chopsticks merupakan sebahagian daripadanya.

Pada masa sama, pengguna Twitter, @sudahtibamasa turut berkongsi perkara berkaitan Melayu yang berasal daripada China antaranya seperti tenunan kain berbenang sutera, laksam, pinggan mangkuk seramik selain kod genetik.

Sementara itu, pengguna Facebook, IR Lawrence Low turut berkongsi pendapat bahawa ramai pihak yang kecewa dengan kenyataan Dr Mahathir dalam isu tersebut.

“Sebagai tokoh berpengaruh, saya rasa lebih elok beliau mencari titik persamaan, meraikan kepelbagaian masyarakat majmuk di Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Pejuang, Ulya Aqamah Husamuddin pada Isnin berkata, kenyataan dikeluarkan Dr Mahathir berhubung penggunaan chopstick disalah tafsir sesetengah pihak dan digunakan sebagai bahan politik.

Menurut Ulya, kenyataan itu sama sekali tidak berniat untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak di negara sebaliknya lebih tertumpu kepada keunikan di Malaysia yang mempunyai pelbagai lapisan masyarakat dan budaya tersendiri.