Kelindan lori ditahan selepas akad nikah

Suspek (kiri) ketika dibawa ke mahkamah di Kemaman pada Selasa bagi proses tahanan reman.
Suspek (kiri) ketika dibawa ke mahkamah di Kemaman pada Selasa bagi proses tahanan reman.
A
A
A

KEMAMAN – Kegembiraan seorang kelindan lori bergelar suami tidak bertahan lama selepas dia ditahan sebaik selesai akah nikah di Pejabat Agama Daerah Kemaman di sini pada Isnin bagi membantu siasatan satu kes samun bersenjata.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, lelaki berusia 22 tahun itu ditahan kira-kira jam 12 tengah hari bagi membantu siasatan kes jenayah samun berkumpulan dan bersenjata pada 21 September lalu.

"Siasatan awal mendapati suspek mengaku melakukan jenayah tersebut bersama dua lagi rakan berusia 29 dan 33 tahun yang telah ditangkap dan didakwa di mahkamah pada 22 November lalu.

"Suspek turut memiliki satu rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dua kes di bawah Seksyen 15 (1) ADB 1952," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Hanyan berkata, suspek dipercayai melakukan jenayah itu bersama dua lagi rakan kira-kira jam 4 petang di sebuah rumah sarang burung di Mukim Mak Lagam, di sini.

"Ketika kejadian, mangsa sedang bekerja di rumah sarang burung sebelum didatangi empat lelaki yang mana salah seorang daripada mereka memiliki senjata api.

"Kumpulan lelaki itu turut merampas sebuah telefon bimbit milik mangsa serta melarikan dua guni berisi sarang burung," katanya.

Menurut Hanyan, suspek dibawa ke mahkamah pada Selasa dan direman selama tujuh hari sehingga 20 Disember ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.