Anwar perlu penjenamaan semula

Anwar
Anwar
A
A
A

DI SEBALIK kekalahan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan lalu, nampaknya Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mudah patah semangat.

Bercakap kepada media di Bekenu, Sarawak pada Ahad, Presiden PKR itu mengakui terdapat kelemahan dalam gabungan berkenaan sehingga menyebabkan penolakan pengundi Melaka terhadap PKR.

PRN Melaka menyaksikan PKR hilang 10 daripada 15 kerusi dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), dengan sembilan daripadanya dirampas oleh Barisan Nasional (BN), manakala satu kerusi dimenangi Perikatan Nasional (PN).

PRN Melaka turut menyaksikan penguasaan dominan BN di negeri bersejarah itu, selain memberi tamparan hebat kepada Pakatan Harapan (PH) khususnya PKR sendiri kerana gagal mempertahankan kerusi mereka.

Anwar yang sentiasa kelihatan tenang walaupun pernah terpalit dengan beberapa kontroversi dan kes mahkamah sebelum ini masih ingin kekal berjuang dalam dunia politik.

Namun, baru-baru ini ada desakan halus yang mengharapkan beliau memperbaiki imejnya di media sosial. Anwar dikatakan perlu lebih terampil mendekati rakyat terutama penduduk kampung kerana kebanyakan penyokong parti PKR adalah golongan di bandar.

Apa yang berlaku adalah di media sosial, Anwar terlihat lebih banyak membuat aktiviti riadah.

Mungkin juga keadaan negara sebelum ini yang berdepan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyukarkan beliau mengadakan aktiviti mendekati orang ramai.

Artikel Berkaitan:

Sebaik sahaja PRN Melaka melabuhkan tirai, terdapat juga desakan dan suara-suara yang mendakwa Anwar tidak lagi relevan untuk mengetuai barisan pembangkang bagi merampas kembali pentadbiran negara.

Inilah masanya Anwar membuat perubahan dan kembalikan PKR agar menjadi pilihan rakyat. Jadikan kesan 22 bulan pemerintahan titik hitam buat Pakatan Harapan (PH). Rakyat terkesan akibat manifesto dan janji-janji pilihan raya.

Sebenarnya, bukan hanya Anwar, sebaliknya beberapa lagi pemimpin parti politik perlu dijenamakan semula andai masih ingin kekal relevan dalam pentas politik negara.