Ekonomi Malaysia dijangka pulih pada 2022

Mustapa
Mustapa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ekonomi Malaysia dijangka pulih pada 2022 berdasarkan aktiviti dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan pertanian yang meningkat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, sektor minyak dan gas turut menunjukkan prestasi yang baik dalam tempoh beberapa bulan ini.

“Bagi 2022, kami agak yakin mengenai prospek berikutan perdagangan dan pelaburan menunjukkan prestasi yang baik. Oleh itu, secara keseluruhannya, saya ingin katakan bahawa melihat kepada aspek penawaran, sama ada pembuatan atau pertanian atau perlombongan, terdapat bukti peningkatan dan semua petunjuk ini menunjukkan kepada pemulihan yang baik pada tahun depan.

“Kami optimis secara berhati-hati dan ini adalah relevan dalam konteks penggunaan dan pelaburan domestik. Kami mengunjurkan pemulihan dalam pelaburan domestik dan penggunaan domestik,” katanya selepas taklimat Bicara Advokasi: Unit Perancang Ekonomi (EPU) mengenai Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) kepada EUROCHAM Malaysia di sini pada Isnin.

Bagaimanapun, katanya, selagi sempadan antarabangsa ditutup, agak sukar untuk mempunyai pemulihan ekonomi sepenuhnya tetapi Malaysia terus optimis dengan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.5 hingga 6.5 peratus pada 2022.

“Sudah tentu, sempadan dibuka secara berperingkat dengan Singapura berikutan ia adalah rakan penting Malaysia. Kami berharap ia akan berkembang dengan baik dan kami juga sedang berbincang dengan Indonesia dan Thailand,” katanya.

Dalam ucaptamanya sebelum itu, Mustapa menegaskan, di bawah RMK12, Malaysia menyasarkan untuk menjadi negara berpendapatan tinggi dan mempunyai kualiti hidup yang lebih baik menjelang 2025.

Dalam usaha ke arah sebuah negara berpendapatan tinggi, beliau berkata Malaysia perlu menarik pelaburan berkualiti tinggi dan tenaga kerja menjadi faktor penting untuk menjadikan negara destinasi pelaburan yang lebih menarik.

Artikel Berkaitan:

“Oleh itu, untuk menjadi negara berpendapatan tinggi, seterusnya kami perlu mewujudkan lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi dan menyediakan modal insan berkualiti. Kami mahu mewujudkan persekitaran yang amat selesa untuk rakan-rakan kita dari luar negara.

“Kami mahu memastikan semasa anda berada di sini, pengalaman di sini berjalan lancar. Kami ingin memudahkan pelaburan anda. Sudah tentu, kadangkala terdapat masalah tetapi kerajaan Malaysia terbuka untuk berbincang secara terbuka dan telus dengan rakan-rakan kita dari Eropah dan negara lain,” katanya.

Mustapa berkata, Malaysia telah bekerjasama dengan beberapa institusi di Eropah seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk membawa masuk pekerja teknikal yang lebih berkualiti ke Malaysia.

Beliau berkata, terdapat keperluan untuk Malaysia membekalkan modal insan yang berkualiti dan antara pendekatan yang diambil di bawah RMK12 ialah mentransformasikan sektor TVET untuk meletakkannya pada kedudukan yang lebih baik bagi memenuhi keperluan industri terutamanya pembuatan.

Mustapa berkata, Malaysia komited untuk melakukan lebih banyak lagi bagi mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif untuk pertumbuhan sektor pembuatan, elektrik dan elektronik maju serta pelbagai sektor ekonomi yang lain. - Bernama