Pengusiran pengganas dibuat segera, sekat rangkaian

Mohamad Fuzi (dua, kiri) dalam sidang media sambil disaksikan Huzir (kanan) dan Wan Ahmad Najmuddin (kiri) serta Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.
Mohamad Fuzi (dua, kiri) dalam sidang media sambil disaksikan Huzir (kanan) dan Wan Ahmad Najmuddin (kiri) serta Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan pengusiran warga asing yang disyaki terbabit dalam kegiatan pengganas perlu disegerakan bagi memastikan rangkaian kumpulan itu dapat disekat.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bagi mengulas kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendedahkan polis tidak merujuk kepada menteri berhubung keputusan pengusiran itu.

Menurutnya, tentang keputusan ini, mungkin terdapat masalah teknikal yang berlaku.

"Kita terima arahan daripada pihak timbalan pendakwa raya berkaitan pengusiran ini. Pengusiran ini perlu disegerakan bagi menyekat rangkaian mereka.

"Pengusiran ini juga dibuat setelah berbincang dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia. Ini adalah ancaman serius, tetapi di masa akan datang kita akan laporkan dahulu kepada pihak berkuasa termasuk sekiranya kalau perlu dalam perancangan operasi sebelum tindakan lanjut diambil," katanya dalam sidang media di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), di sini, hari ini.

Mohamad Fuzi berkata, pengusiran ini adalah sah kerana hasil semakan yang dibuat ada antara warga asing itu menggunakan pasport palsu untuk masuk ke dalam negara.

Tegasnya, tidak akan pihaknya menolak perkara yang telah jelas tentang isu keselamatan negara.

"Kita telah tangani isu ini begitu lama dan kita tak mahu kumpulan ini menjadikan negara kita sebagai tempat bertapak bagi melancar serangan. Kita ada maklumat tentang perkara itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, enam warga Mesir, 1 warga Tunisia dan 2 warga tempatan ditahan polis antara 2 hingga 9 Februari lepas dalam beberapa serbuan di Lembah Klang dan Sarawak, selepas menerima maklumat daripada agensi perisikan asing mengenai kehadiran suspek yang menjadi anggota militan, Ansar Al-Shariah Al-Tunisia yang beroperasi di utara Afrika.

Semua suspek disiasat mengikut prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) dan diusir ke negara asal pada 5 Mac lalu.

Terdahulu, telah berlangsungnya Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah dan Pengerusi Perkep Jabatan Siasatan Jenayah, Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan PDRM serta Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara.

Majlis itu turut menyaksikan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan dan Operasi), Datuk Huzir Mohamed memangku jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah menggantikan Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd yang bersara wajib.