Menantu cekal jaga ibu bapa mentua strok

Amran (kanan) bersama bapanya, Awang menerima kunjungan Armin Azahari yang mewakili MAIK untuk menyampaikan sumbangan kepada keluarga berkenaan di Kampung Gertak Kangkong, Mengkebang, Kuala Krai pada Isnin.
Amran (kanan) bersama bapanya, Awang menerima kunjungan Armin Azahari yang mewakili MAIK untuk menyampaikan sumbangan kepada keluarga berkenaan di Kampung Gertak Kangkong, Mengkebang, Kuala Krai pada Isnin.
A
A
A

KUALA KRAI - Seorang menantu dari Kampung Gertak Kangkong, Mengkebang di sini bukan sahaja cekal menjaga ibu dan bapa mentuanya yang sakit akibat strok selama hampir lima tahun, malah berasa gembira dapat menabur bakti kepada mereka.

Siti Hajar Mohd Azlan berkata, tugas menjaga mentuanya, Ramlah Jusoh, 71, dan Awang Saamah, 71, dilakukan selepas suaminya Amran, 43, keluar mencari rezeki dengan menoreh getah atau mengambil upah membersihkan kawasan kebun.

"Ibu mentua mengalami strok sebelah badan dan baharu sahaja sembuh, namun boleh bergerak perlahan-lahan.

"Selain itu, dia (ibu mentua) baru selesai menjalani pembedahan membuang ketumbahan pada perut manakala ayah mentua diserang strok otak menyebabkan kebanyakan masanya dihabiskan dengan hanya berbaring," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Amran dan Siti Hajar sebelum itu menerima kunjungan Imam Tua Masjid Tengku Muhammad Faris Petra Bandar Kuala Krai, Armin Azahari Mamat mewakili Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang menyampaikan sumbangan kepada keluarga berkenaan.

Menurutnya, dia sama sekali tidak terbeban dengan tugas itu, malah gembira dapat menabur bakti dengan menjaga ibu dan ayah mentua.

Siti Hajar cekal menjaga ibu mentuanya, Ramlah (kanan) yang mengalami strok sebelah badan dan baru sahaja sembuh, namun hanya boleh bergerak perlahan-lahan.
Siti Hajar cekal menjaga ibu mentuanya, Ramlah (kanan) yang mengalami strok sebelah badan dan baru sahaja sembuh, namun hanya boleh bergerak perlahan-lahan.

Katanya, walaupun mereka hidup sederhana namun tetap tenang menempuh ujian itu di samping membesarkan lima anak berusia satu hingga sembilan tahun.

Artikel Berkaitan:

Siti Hajar berkata, dia turut bersyukur apabila bapa mentua menerima bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM200 sebulan.

"Sejak November lalu, suami tidak dapat keluar menoreh akibat musim tengkujuh.

"Namun adik ipar turut menghulurkan sumbangan kewangan bagi membeli lampin pakai buang untuk bapa mertua walaupun hanya bekerja sebagai kelindan lori," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam atas nama Siti Hajar Mohd Azlan 03-072-02-217284-0.