Cubaan larikan ATM depan balai polis gagal

Pondok menempatkan sebuah ATM berhadapan Balai Polis Johol, Kuala Pilah yang rosak dalam cubaan sekumpulan penjenayah melarikan mesin berkenaan. - Foto ihsan PDRM
Pondok menempatkan sebuah ATM berhadapan Balai Polis Johol, Kuala Pilah yang rosak dalam cubaan sekumpulan penjenayah melarikan mesin berkenaan. - Foto ihsan PDRM
A
A
A

KUALA PILAH - Kedudukan sebuah pondok menempatkan mesin juruwang automatik (ATM) berhadapan Balai Polis Johol di sini tidak menghalang sekumpulan empat penjenayah cuba melarikan mesin berkenaan pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani berkata, kejadian jam 4 pagi itu disedari anggota yang bertugas di balai tersebut selepas mendapati kamera litar tertutup (CCTV) di mesin ATM itu tidak berfungsi.

"Anggota itu kemudian telah pergi membuat pemeriksaan namun terdengar bunyi dentuman kuat dari arah pondok ATM terbabit.

"Hasil pemeriksaan pada CCTV mendapati suspek lelaki cuba menarik keluar mesin ATM dengan menggunakan kabel dawai dan rantai besi," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Bagaimana pun katanya, cubaan suspek gagal apabila kabel yang disambung pada sebuah van Nissan Vanette dan kereta Proton Iswara Aeroback putus.

Ujarnya, penjenayah terbabit kemudian melarikan diri tanpa sempat menarik keluar mesin ATM tersebut.

"Kejadian itu menyebabkan struktur pondok menempatkan ATM itu mengalami kerosakan yang dianggarkan RM8,000.

"Polis masih menjalankan siasatan lanjut kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan: