Ismail Sabri ucap takziah kepada ahli keluarga Mohd Firdaus

Ismail Sabri mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga pegawai Bomba Mohd Firdaus Sulaiman yang meninggal dunia di Hospital Segamat, awal pagi Isnin. - Foto FB Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga pegawai Bomba Mohd Firdaus Sulaiman yang meninggal dunia di Hospital Segamat, awal pagi Isnin. - Foto FB Ismail Sabri Yaakob
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga pegawai Bomba Mohd Firdaus Sulaiman yang meninggal dunia di Hospital Segamat, awal pagi Isnin.

Dalam catatan di Facebooknya, Ismail Sabri menyifatkan Allahyarham yang cedera parah akibat terkena letupan ketika operasi memadam kebakaran di sebuah kilang memproses habuk kayu di Segamat, Sabtu lepas itu sebagai wira di hati Keluarga Malaysia.

Perdana Menteri berkata, pengorbanan daripada seorang wira pastinya akan dikenang sampai bila-bila.

"Takziah saya ucapkan kepada keluarga Allahyarham dan semoga tabah dalam dugaan yang dihadapi ini. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh ALLAH SWT dan ditempatkan bersama roh orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

"Sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah untuk Allahyarham," menurut catatan itu.

Mohd Firdaus, 32, yang berkhidmat di Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Segamat sejak 2013 itu, meninggal dunia pada kira-kira jam 4.10 pagi Isnin akibat kecederaan parah yang dialaminya.Dalam kejadian pada jam 5.15 pagi Sabtu lepas, Mohd Firdaus dan seorang anggota pasukan tindakan kecemasan (ERT) kilang cedera parah manakala seorang lagi pegawai bomba melecur akibat terkena letupan ketika operasi memadam kebakaran di sebuah kilang memproses habuk kayu. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Anggota bomba meninggal dunia terkena letupan kebakaran kilang

Artikel Berkaitan: