Anggota bomba meninggal dunia terkena letupan kebakaran kilang

Mohd Firdaus Sulaiman
Mohd Firdaus Sulaiman
A
A
A

JOHOR BAHRU - Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat ( BBP) Bandar Baru Segamat yang cedera parah akibat terkena letupan ketika operasi memadam kebakaran di sebuah kilang memproses habuk kayu di Segamat pada Sabtu, meninggal dunia, awal pagi Isnin.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Datuk Yahaya Madis berkata, anggota terbabit Pegawai Bomba Mohd Firdaus Sulaiman, 32, disahkan meninggal dunia di Hospital Segamat pada jam 4.15 pagi.

Katanya jenazah kini masih berada di Hospital Segamat.

"Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Zaitun, Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan.

"Allahyarham sudah 10 tahun berkhidmat sebagai Pegawai Bomba sejak 3 Disember 2012.

"Bersama-sama kita mendoakan semoga arwah ditempatkan bersama-sama orang beriman,"katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Sebelum itu pada Sabtu, seorang pegawai bomba dan seorang anggota pasukan tindakan kecemasan (ERT) kilang cedera parah, manakala seorang lagi pegawai bomba melecur akibat terkena letupan ketika operasi memadam kebakaran di sebuah kilang memproses habuk kayu, di Segamat.

Kesemua mereka adalah Pegawai Bomba Kanan II Khas Untuk Penyandang (KUP) Syed Putra Syed Mohd Al Atas, 52; Pegawai Bomba Mohd Firdaus Sulaiman, 32, dan anggota ERT kilang Mohamad Azuraini Mahrani, 40.

Artikel Berkaitan:

Mohd Firdaus dan Mohamad Azuraini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Segamat manakala Syed Putra menerima rawatan pesakit luar di hospital sama.

Secara keseluruhannya seramai 22 pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Segamat serta Labis terbabit dalam operasi pemadaman kebakaran di bahagian dandang laluan habuk kayu di tingkat tiga bangunan kilang berkenaan.