Penternak ikan serik rugi RM100,000 angkara banjir

Mohd Zahir mula mengikat sangkarnya pada pokok sejak sebulan lalu untuk mengelak insiden sama berulang setiap kali hujan lebat dan bermulanya musim tengkujuh.
Mohd Zahir mula mengikat sangkarnya pada pokok sejak sebulan lalu untuk mengelak insiden sama berulang setiap kali hujan lebat dan bermulanya musim tengkujuh.
A
A
A

TEMERLOH - Tragedi banjir besar 2014 di Pantai Timur khususnya di Pahang menyebabkan pengusaha ikan sangkar di sekitar Sungai Pahang di sini berlebih berwaspada dengan mengambil langkah keselamatan agar insiden sangkar milik mereka hanyut tidak berulang.

Seorang pengusaha ikan sangkar dekat Kampung Pengkalan Manggis, Mohd Zahir Ibrahim, 37, berkata, dia sudah mula mengikat sangkarnya pada pokok sejak sebulan lalu untuk mengelak insiden sama berulang setiap kali hujan lebat dan bermulanya musim tengkujuh.

Menurutnya, pengalaman pada 2014 menyebabkan dia mengalami kerugian lebih RM100,000 apabila lebih 40 sangkar miliknya dihanyutkan banjir sekali gus menjadikan insiden itu sebagai satu pengajaran berguna buat pengusaha sepertinya.

"Walaupun keadaan paras air di Sungai Pahang masih seperti biasa, namun pengusaha ikan sangkar seperti kami tetap perlu berhati-hati supaya tidak berdepan masalah besar apabila berlakunya banjir.

"Selain itu, kami juga selalu mendapatkan dan berkongsi maklumat daripada rakan-rakan lain mengenai keadaan paras air di kawasan lain seperti di Lipis," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Dalam pada itu, Mohd Zahir yang kini memiliki 48 sangkar ikan yang diusahakan sejak tahun 21 tahun itu mengakui persediaan awal yang dilakukannya ketika banjir melanda pada awal tahun ini menyebabkan sangkarnya selamat dan tidak dihanyutkan banjir.

"Sememangnya pengusaha ikan sangkar seperti kami sudah serik dengan insiden yang berlaku pada 2014 sehingga menyebabkan ramai yang terpaksa berputih mata setelah mengalami kerugian besar," ujarnya.

Artikel Berkaitan: