Prosiding kes rasuah Rosmah ditangguh kali ketiga

Peguam dan kakitangan mahkamah menemui Rosmah yang berada di dalam kereta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi memeriksa status MySejahteranya, pada Isnin.
Peguam dan kakitangan mahkamah menemui Rosmah yang berada di dalam kereta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi memeriksa status MySejahteranya, pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, dilapangkan buat kali ketiga.

Ia selepas status MySejahtera isteri bekas Perdana Menteri itu masih menunjukkan beliau mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19.

Semasa prosiding bela diri kes rasuah membabitkan projek hibrid solar di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan, peguam Datuk Jagjit Singh yang mewakili Rosmah, mengesahkan status MySejahtera Rosmah masih belum bertukar kepada warna biru.

Menurutnya, pasukan pembelaan berada dalam situasi serba salah kerana dalam prosiding terdahulu, beliau memberi keyakinan kepada mahkamah bahawa prosiding akan dijalankan pada Isnin.

“Status anak guam saya masih berwarna jingga, jadi beliau tidak dapat masuk ke mahkamah untuk perbicaraan sebagaimana yang dijadualkan sebelum ini. Saya mohon maaf sangat-sangat kepada mahkamah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram sekali lagi mencadangkan, agar perbicaraan dijalankan secara dalam talian (hybrid).

Ia yang mana Rosmah boleh memberi keterangan secara dalam talian sama ada dari kediamannya atau pejabat peguam yang di dihadiri pihak pembelaan dan pendakwaan.

Bagaimanapun, Jagjit Singh kemudiannya bangun dan berkata, pihaknya lebih suka jika perbicaraan dijalankan di mahkamah secara terbuka.

Artikel Berkaitan:

Mendengar ulasan daripada kedua-dua pihak, hakim Mohamed Zaini berkata, mahkamah akan mempertimbangkan cadangan daripada pihak pendakwaan dan melihat kepada peruntukan undang-undang berkaitan.

Sekiranya perbicaraan secara dalam talian boleh dilakukan, hakim Mohamed Zaini berkata, mahkamah akan memaklumkan kedua-dua pihak lebih awal.

“Ia hanya akan dilakukan sekiranya status MySejahtera Rosmah tidak berubah kepada warna biru

“Namun jika ia berubah kepada biru, maka prosiding akan dijalankan seperti biasa (di mahkamah),” ujarnya.

Mahkamah menetapkan 23 dan 24 Disember ini untuk perbicaraan kes itu.

Pada jam 9.40 pagi Isnin, Rosmah hadir di mahkamah dengan memakai baju kurung moden berwarna krim namun disebabkan status MySejahteranya menunjukkan beliau masih sebagai kontak rapat pesakit Covid-19 (warna jingga) dan isteri Datuk Seri Najib Razak itu terpaksa menunggu di dalam keretanya.

Rosmah, 70, menghadapi pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings untuk mendapatkan projek bernilai RM1.25 bilion bagi membekalkan tenaga hibrid solar kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

ARTIKEL BERKAITAN: Bicara kes rasuah ditangguh, Rosmah kontak rapat kes Covid-19