Sembilan rumah, kedai di Gerik terbakar

Deretan sembilan rumah dan kedai terbakar di Kampung Baru Batu 2, Gerik namun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan. - Foto ihsan JBPM Perak.
Deretan sembilan rumah dan kedai terbakar di Kampung Baru Batu 2, Gerik namun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan. - Foto ihsan JBPM Perak.
A
A
A

GERIK - Sebanyak sembilan premis termasuk empat rumah musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Baru Batu 2 di sini pada Ahad.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 8 malam itu bagaimanapun tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan, pasukan mengambil masa lebih lima jam untuk memadam kebakaran membabitkan deretan kedai dan rumah terbabit.

"Kebakaran membabitkan seunit kedai fonderi, aksesori kereta, kedai makan dan kedai membaiki jentera berat yang musnah 80 peratus.

"Selain itu, rumah kedai dua tingkat musnah terbakar 60 peratus, tiga rumah kediaman terbakar 90 peratus manakala sebuah lagi terbakar tiga peratus," katanya dalam satu kenyataan di sini pada awal pagi Isnin.

Menurutnya, operasi yang diketuai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik, Azizan Aziz berjaya mengawal kebakaran pada jam 9.22 malam.

"Operasi pemadaman dengan menggunakan aliran air itu turut dibantu oleh pasukan dari BBP Lenggong, Pengkalan Hulu, dan Kuala Kangsar.

"Seramai 77 anggota terlibat dalam operasi itu termasuk polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), pegawai kesihatan dan Tenaga Nasional Berhad (TNB)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, operasi diteruskan sehingga api berjaya dipadam sepenuhnya dan tamat pada jam 1.20 pagi.