Ismail Sabri hargai kesetiaan MIC terus bersama BN

Ismail Sabri ketika hadir pada Perhimpunan Agung MIC ke-75 di sini pada Ahad.
Ismail Sabri ketika hadir pada Perhimpunan Agung MIC ke-75 di sini pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghargai kesetiaan MIC yang terus bersama Barisan Nasional (BN) walaupun gabungan itu berhadapan cabaran besar selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata MIC telah mengotakan janjinya pada 21 Oktober 2018 dengan terus kekal bersama BN yang kini dianggotai UMNO, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

"Kepimpinan BN tidak memaksa sesiapa untuk kekal bersama. Nilai kejujuran dan keikhlasan diuji, sewaktu BN berhadapan dengan cabaran paling besar sejak penubuhannya. MIC memilih untuk terus kekal bersama BN. (Presiden MIC) Tan Sri Vicky (S A Vigneswaran) pada 21 Oktober 2018 menegaskan MIC akan kekal bersama UMNO, MCA dan PBRS.

"Kesetiaan amat penting pada bila-bila masa dan MIC ‘walk the talk’ (mengotakan apa yang dikatakan) bersama mengharungi masa depan politik tanah air. Kematangan berpolitik dan komitmen kepimpinan MIC, meyakinkan BN untuk terus bersolidariti dan mara ke hadapan sebagai satu pasukan demi pembangunan negara. Terima kasih MIC!" katanya.

Ismail Sabri berkata demikian dalam ucapannya pada Perhimpunan Agung MIC ke-75 di sini pada Ahad.

Mengimbau kembali sejarah MIC, Perdana Menteri berkata, ia diwujudkan hasil Persidangan Kaum India se-Malaya, 75 tahun yang lalu dan pada ketika itu, wakil daripada pelbagai pertubuhan sosial telah hadir di Dewan Chetttiyar, Jalan Ipoh.

"Mereka kemudiannya menyertai pakatan UMNO dan MCA pada 1955 sebagai lambang permuafakatan. Sehingga hari ini MIC terus setia bersama BN," katanya.

Ismail Sabri berkata, kemenangan calon MIC di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek pada Pilihan Raya Negeri Melaka baru-baru ini juga menunjukkan bahawa dengan kolaborasi politik BN, ia dapat membawa perubahan.

Artikel Berkaitan:

"Yang penting ialah semangat setiakawan dikekalkan tanpa keraguan.

"Dalam Jemaah Kabinet, MIC mempunyai Datuk Seri M Saravanan yang sentiasa membawa suara kaum India. We are not makers of history, but we are made by history (Kami bukan pencipta sejarah tetapi kami dicipta oleh sejarah). Pengajaran daripada lipatan sejarah yang lalu, bukan sahaja menjadi guru, bahkan menjadi azimat kekuatan parti dalam menghadapi cabaran mendatang," katanya.

Beliau juga percaya Perhimpunan Agung MIC pada Ahad merupakan wadah terbaik untuk parti itu memberikan tumpuan kepada usaha pembangunan dan penambahbaikan kehidupan kaum India di negara ini.

Ini kerana, Ismail Sabri berkata, beliau yakin MIC yang telah melalui pelbagai cabaran sejak penubuhannya pada 1946, kembali disokong rakyat.

"Pada masa ini, MIC tetap berdiri teguh dalam arena politik tanah air. Saya yakin, sejak Pilihan Raya Umum ke-14, ramai masyarakat kembali menyokong MIC. Mereka menyesal kerana tersalah pilih akibat terbuai dengan janji palsu Pakatan Harapan (PH) ketika itu. Kini mereka sedar MIC adalah pejuang sejati untuk masyarakat India di Malaysia.

"Justeru, kepimpinan MIC perlu bersikap proaktif dan prihatin terhadap keadaan semasa, bukan sekadar bertujuan meraih sokongan masyarakat pada PRU15 akan datang, tetapi melakukannya dengan penuh keikhlasan, sekali gus terus memperjuangkan kepentingan kaum India dan rakyat keseluruhannya," katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada Vigneswaran dan Timbalan Presiden MIC, Saravanan yang juga Menteri Sumber Manusia kerana berjaya mengekalkan jawatan masing-masing selepas menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti bagi penggal 2021-2024.

"Ucapan tahniah juga kepada mereka yang menang dan mengekalkan jawatan pada pemilihan kali ini. Semoga kepercayaan dan mandat yang diberikan oleh ahli-ahli parti akan menyuntik semangat jitu kepimpinan MIC untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik buat kaum India di negara ini," katanya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:Beri ruang kepada PM tentukan tempoh masa PRU15: Presiden MIC

ARTIKEL BERKAITAN:Tiada masalah parti mesra BN diberi kerusi, asal bukan kerusi MIC