Kerajaan salur RM79.8 juta untuk bina, baik pulih PPRT di Sarawak

Mahdzir.- Foto fail Bernama
Mahdzir.- Foto fail Bernama
A
A
A

MIRI - Sebanyak RM79.8 juta telah disalurkan kepada Sarawak tahun ini untuk membina dan membaik pulih kediaman di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata, jumlah itu meliputi 405 projek bina baharu dan 3,077 projek baik pulih rumah golongan yang memerlukan bantuan program perumahan di Sarawak.

Menurutnya, sebagai agensi pelaksana, GiatMara bertanggungjawab membina 180 rumah baharu dan membaik pulih 1,162 kediaman dengan peruntukan sebanyak RM29.7 juta, manakala bakinya dilaksanakan oleh Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak.

“PPRT adalah bantuan kerajaan untuk membina baharu atau membaik pulih rumah bagi menyediakan tempat kediaman yang lebih selamat dan selesa sebagai asas kesejahteraan Keluarga Malaysia.

“Kumpulan sasar PPRT ialah Ketua Isi Rumah Miskin Tegar dan Miskin yang ditentukan berdasarkan pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) semasa yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mahdzir sebelum itu menyempurnakan majlis Penyerahan Bantuan Enjin Sangkut Program Peningkatan Pendapatan (PPP) dan PPRT di Kampung Awat-Awat di Lawas.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Hasbi Habibollah dan Timbalan Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Parlimen Lawas, Datuk Henry Sum Agong.

Mahdzir berkata, setakat 15 November lepas, sejumlah 800 unit rumah bina baharu siap sebanyak 75 peratus, manakala bagi program baik pulih, 10,000 unit berjaya disiapkan 100 peratus.

Artikel Berkaitan:

“Di Lawas, sejumlah RM1.5 juta dibelanjakan untuk 15 projek bina baharu dan 32 projek baik pulih rumah manakala daerah Limbang pula melibatkan 19 projek PPRT bina baharu dan 20 projek baik pulih dengan peruntukan RM1.5 juta,” katanya.

Menerusi PPP pula, sejumlah RM700,000 disalurkan kepada GiatMara Sarawak tahun ini dengan RM500,000 daripadanya diberikan kepada 50 nelayan kumpulan B40 di Lawas dalam bentuk bantuan enjin sangkut.

“Kadar bantuan maksimum program PPP ialah sebanyak RM10,000 bergantung kepada projek yang dilaksanakan. Peruntukan projek yang diluluskan kementerian merangkumi kos latihan atau kursus kemahiran dengan jumlah maksimum RM1,500 seorang mengikut keperluan,” katanya. - Bernama