Pelan Dakwah 10 tahun tangani gejala sosial

A
A
A

ALOR SETAR - Kolaborasi antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam Kedah perlu digiatkan untuk menyemarakkan kegiatan dakwah di negeri ini agar lebih progresif dan inklusif.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, sehubungan itu pihaknya bersama lebih 22 NGO bergabung idea merangka Pelan Dakwah 10 tahun (2022-2032) Kedah bagi menangani pelbagai masalah sosial dan kemasyarakatan.

Menurutnya, 20 garis panduan dicapai untuk melaksanakan gerak kerja dakwah agar lebih segar dan proaktif untuk mendepani cabaran alaf baharu.

“Saya telah bentangkan realiti gejala sosial di Kedah yang perlu diberi perhatian oleh NGO Islam antaranya budaya minum arak, berjudi, sindiket pelacuran, gangsterism dan dadah.

''Ini termasuklah penyeludupan, salah laku disiplin remaja di sekolah, rasuah, salah guna kuasa, keruntuhan institusi keluarga serta merempit,” katanya selepas membentangkan kertas kerja sempena Bengkel Gerakan Dakwah Negeri Kedah anjuran Suruhanjaya Majlis Dakwah Negara negeri Kedah, di sini pada Ahad.

Hadir sama, Pesuruhjaya Majlis Dakwah Negara negeri Kedah, Profesor Madya Dr Muhammad Nasri Md Hussain.

Mohd Azmi berkata, gerakan dakwah perlu lebih realistik selain diperluaskan skop dakwah bukan sahaja di masjid dan surau sebaliknya turun ke lapangan untuk mendekati pelbagai kelompok sasaran.

“Institusi masjid perlu memainkan peranan sebagai institusi pencetus perubahan dalam masyarakat. Masjid harus menjadi releven dalam isu masyarakat setempat.

Artikel Berkaitan:

“NGO dakwah perlu bergerak secara konstruktif dan membina model alternatif dalam pelbagai sektor seperti pendidikan, kesihatan, ekonomi, pengurusan sumber dan pengurusan berintegriti menerusi perspektif Islam,” katanya.

Menurut beliau, gerakan dakwah Kedah perlu melahirkan pendakwah yang berketrampilan, kreatif dan mahir dalam komunikasi terkini terutama ketika mendekati generasi muda.

“Cabaran berdakwah semakin getir, pengaruh negatif daripada pelbagai saluran media sosial bersaing dengan mesej dakwah.

“Oleh itu gerakan dakwah perlu mendekati semua golongan seperti usahawan, korporat, elit, ilmuan dan seniman termasuk bukan Islam untuk merapatkan hubungan serta menyampaikan kefahaman Islam yang betul. Golongan bukan Islam perlu dihindari daripada terpengaruh dengan naratif negatif mengenai Islam,” katanya.

Mohd Azmi berkata, aspek lain termasuk menerapkan dakwah kepada birokrat kerajaan, membangunkan model pembinaan kepimpinan masyarakat dan kepimpinan siasah serta memperkukuhkan strategi media dakwah.

“Pelan Dakwah 10 tahun Kedah itu dirangka dalam beberapa fasa, iaitu fasa penyebaran risalah kefahaman Islam, fasa menerapkan Islam dalam pelbagai sektor awam dan swasta serta fasa membina model Islam.

“Pada akhir bengkel tersebut, perjanjian persefahaman ditandatangani oleh wakil NGO Islam bagi memeterai komitmen dalam menjayakan kerjasama gerakan dakwah terbabit,” katanya lagi.

Menurutnya, kesemua hasil dapatan bengkel berkenaan akan didokumentasikan sebelum ia dilancarkan dalam masa terdekat.