Jabatan Penjara perjelas banduan cuci kereta

Keratan Sinar Harian
Keratan Sinar Harian
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Penjara Malaysia menjelaskan perkhidmatan mencuci kenderaan dibuka kepada orang awam yang hendak menggunakan perkhidmatan melibatkan penghuni penjara dengan kadar harga bayaran berpatutan dan berkualiti.

Menurut kenyataan jabatan itu, penghuni penjara yang terlibat telah dilatih dan diberi kemahiran dalam program pemulihan luar penjara yang dikenali sebagai Banduan Kerja Luar Penjara (BKLP).

“Setiap penghuni menerima upah atau gaji hasil daripada pekerjaan yang dilakukan.

“Program BKLP melibatkan banduan yang telah menjalani saringan ujian fizikal dan mental tertentu sehingga layak diberi pelepasan untuk menjalani BKLP dengan pemantauan anggota penjara.

“Kebanyakan institusi menawarkan perkhidmatan mencuci kenderaan,” kata kenyataan itu pada Ahad.

Pada Sabtu, warganet dilapor menyerang seorang penjawat awam yang dikatakan menyiarkan gambar dalam Facebook mengenai seorang banduan mencuci kereta miliknya.

Menerusi status media sosial tersebut, pegawai penjara berkenaan didakwa menyuruh banduan tersebut membuat sesuatu untuk kepentingan peribadinya.

Menurut kenyataan itu, masyarakat atau komuniti setempat yang berhasrat untuk menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan dialu-alukan untuk berhubung dengan penjara berdekatan.

Artikel Berkaitan:

“Dengan menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan ini menandakan sokongan masyarakat dan komuniti setempat terhadap program pemulihan Jabatan Penjara Malaysia dalam menyediakan peluang pekerjaan dan kerjaya kepada penghuni apabila dibebaskan,” kata kenyataan itu.