KBS, pertubuhan belia bincang isu had umur Selasa depan

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (tengah) melepaskan peserta pada Majlis Perasmian Program Kayuhlasak Shapadu-KBS Putrajaya 2021 hari ini. - Foto Bernama
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (tengah) melepaskan peserta pada Majlis Perasmian Program Kayuhlasak Shapadu-KBS Putrajaya 2021 hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PERTEMUAN antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan 41 pertubuhan belia akan diadakan pada Selasa depan bagi membincangkan isu berkaitan pelaksanaan Akta 668 melibatkan penurunan had umur belia kepada 30 tahun.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, antara perkara yang dibincangkan adalah untuk mencari jalan penyelesaian berkaitan pelaksanaan Akta 668 bagi memastikan situasi menang-menang antara kerajaan dan pertubuhan belia.

"(Pertemuan) itu bagaimana hendak aturkan adanya situasi menang-menang mengikut apa kerajaan hendak lakukan dan apa kehendak yang hendak kita sesuaikan dengan pertubuhan belia ini," katanya kepada media di Program KayuhLasak Shapadu-KBS Putrajaya 2021 di sini, pada Ahad

Ditanya jika ada persatuan belia yang tidak bersetuju dengan penurunan had umur belia, Ahmad Faizal berkata majoriti sudah bersetuju.

"Saya dapati mereka bukan tidak setuju, mereka setuju tetapi mereka memerlukan sedikit masa untuk penyelesaian mudah kerana ada pertubuhan telah adakan mesyuarat awal untuk buat pemilihan tahun hadapan dan jika kita tetapkan pada 1 Jan depan (pelaksanaan) itu maka usaha yang mereka buat sebelum ini terbantut.

"Jadi ini perkara yang sedang kita kaji dan akan kita carik titik penyelesaian supaya semua pihak lega dan wartakan Akta 668 ini dengan sebaiknya," katanya.

Pada 17 November lepas, Ahmad Faizal mengumumkan di Parlimen bahawa pelaksanaan akta mengehadkan umur untuk memegang jawatan dalam persatuan belia daripada 40 ke 30 tahun bermula 1 Januari tahun depan.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Faizal berkata, KBS sentiasa memantau rapat keadaan pemain-pemain Malaysia yang sedang menyertai kejohanan di luar negara.

Artikel Berkaitan:

"Kita memantau perkembangan kesihatan para pemain bukan sahaja pemain bola sepak di Singapura tetapi itu juga dengan pemain hoki wanita kita di Korea Selatan dan setakat ini Alhamdulillah mereka yang dijangkiti (Covid-19) tidak kritikal," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal optimis pasukan Harimau Malaya mengekalkan momentum kemenangan dalam pertemuan dengan Vietnam malam ini di Stadium Bishan, Singapura.

"Walaupun ada beberapa pemain tidak dapat diturunkan, pemain tonggak juga yang tidak dapat diturunkan tetapi saya yakin pasukan yang disiapkan oleh (Ketua Jurulatih) Tan Cheng Hoe nampak bersedia untuk atasi atau sekurangnya memberi persaingan sengit kepada pasukan Vietnam.

"Insya Allah kita akan bermain dengan baik dan dapat atasi Vietnam dan terus mara ke perlawanan seterusnya dan dapat bawa kejuaraan. Itu harapan kita, namun yang saya harapkan kepada pasukan agar mereka membawa nama baik negara dan juga menjaga semangat kesukanan yang tinggi," katanya.

Malaysia memulakan kempen Piala AFF dengan menang bergaya 3-1 ke atas Kemboja pada Isnin sebelum membenam Laos 4-0 pada Khamis.

Empat pemain Malaysia disahkan positif Covid-19 bermula dengan penjaga gol, Khairulazhan Khalid dan tonggak sayap, Faisal Halim sebelum dua lagi menyusul, iaitu Muhammad Akhyar Abdul Rashid dan Quentin Cheng. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!