Pengorbanan Jorginho berbaloi

Jorginho (kiri) meraikan kejayaan menyempurnakan sepakan penalti untuk bantu Chelsea menang ke atas Leeds
Jorginho (kiri) meraikan kejayaan menyempurnakan sepakan penalti untuk bantu Chelsea menang ke atas Leeds
A
A
A

PENGENDALI Chelsea, Thomas Tuchel memuji pengorbanan yang dilakukan pemain tengah, Jorginho selepas pemain Itali itu berjaya menyempurnakan sepakan penalti pada minit terakhir perlawanan meskipun sedang mengalami kecederaan.

Pada perlawanan tersebut, anak buah Tuchel bangkit daripada dua perlawanan tanpa kemenangan mereka meskipun satu ketika Chelsea hampir terlepas tiga mata pada aksi yang berlangsung di Stamford Bridge.

Leeds berjaya mendahului menerusi sepakan penalti separuh masa pertama oleh Raphinha sebelum Chelsea mengikat kedudukan menerusi jaringan Mason Mount.

Jorginho, yang bermain dengan kecederaan belakang berjaya menyumbat gol pertama pada perlawanan itu menerusi sepakan penalti selepas rehat, hanya untuk pemain remaja Leeds Joe Gelhardt menyamakan kedudukan ketika berbaki tujuh minit.

Jorginho menjadi wira Chelsea pada hujung permainan apabila sekali lagi menyempurnakan sepakan penalti hasil kesilapan Mateusz Klich yang mengasari Antonio Rudiger.

“Jorginho telah mengorbankan dirinya selama beberapa minggu sebenarnya. Saya sedar bahawa saat ini akan datang apabila dia akan bermain dalam keadaan menderita kesakitan.

“Ia kerana dia bermain banyak permainan iaitu Liga Juara-Juara bersama kami, Euro dengan Itali, dan kempen kelayakan Piala Dunia. Perkara tersebut bukan sahaja beri kesan kepada fizikalnya tetapi turut terkesan dari segi mental.

“Tetapi Jorginho adalah Jorginho dan dia sedar sepenuhnya tentang situasi itu sendiri. Dan dia mengorbankan dirinya dan memberikan yang terbaik setiap hari,” kata Tuchel.

Artikel Berkaitan:

Kemenangan tersebut sudah tentu penting buat Chelsea selepas mereka kalah kepada West Ham minggu lalu dan seri ketika menentang Zenit Saint Petersburg dalam saingan Liga Juara-Juara

Dengan pendahulu Manchester City dan Liverpool di tempat pertama dan kedua selepas kedua-dua pasukan itu mencatatkan kemenangan, Chelsea kini kekal di tempat ketiga dengan perbezaan dua mata di belakang pendahulu liga.