Menjawab kontroversi 5G negara

5G iaitu 100 kali ganda kelajuan 4G.
5G iaitu 100 kali ganda kelajuan 4G.
A
A
A

KEBAIKAN dan keburukan rangkaian borong tunggal (single wholesale network) 5G bagi Malaysia, dengan Digital Nasional Berhad (DNB) – entiti yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan – sebagai pengendali tunggalnya telah dihebahkan dan ditulis secara meluas dan dibahaskan.

Tidak menghairankan bantahan paling kuat datangnya daripada syarikat telekomunikasi utama – di mana kemungkinan kehilangan pemilikan aset spektrum 5G dilihat sebagai ancaman kepada model perniagaan sedia ada dan keuntungan masa depan mereka.

Sekiranya terdapat sebarang hikmah daripada perbincangan yang berpanjangan ini, ia adalah bahawa kita kini tahu hampir semua isu dan kebimbangan yang berkaitan.

Faktor risiko bukan lagi menjadi ancaman kerana kita sudah tahu tentangnya dan oleh kerana itu, semua pelan luar jangka dan redundansi yang diperlukan boleh dirancang; manakala langkah berjaga-jaga telah dan akan diambil untuk mengurangkan serta membendung sebarang kemungkinan dan kegagalan.

DNB telah cuba menguruskan setiap isu dan kebimbangan secara terbuka dan dengan penuh telus. Dalam hal ini, kami akan meringkaskan semua hujah di bawah. Ini akan membolehkan kita untuk bergerak ke hadapan, dengan tegas – demi kebaikan rakyat dan negara.

Sebenarnya, apa yang kami, dan apa yang setiap pengguna Malaysia inginkan adalah sangat mudah; iaitu kualiti perkhidmatan yang lebih baik – sambungan internet berkelajuan tinggi yang tersedia di mana sahaja dan yang boleh dipercayai secara konsisten – pada harga yang lebih rendah, secepat mungkin.

Dengan itu, kita turut melibatkan rakyat yang tinggal di luar bandar-bandar utama, yang sering ketinggalan kerana kawasan desa tidak mendatangkan keuntungan kepada syarikat telekomunikasi. Walhal sambungan internet jalur lebar merupakan keperluan asas untuk semua rakyat, sama seperti air dan elektrik.

Sejujurnya, syarikat telekomunikasi tidak melakukan kerja yang baik dengan rangkaian 4G semasa. Fakta ini didokumentasikan dengan cukup baik daripada banyak tinjauan kualiti perkhidmatan yang telah dijalankan oleh pelbagai sumber bebas.

Artikel Berkaitan:

Kami berpendapat bahawa pengguna Malaysia akan bersetuju dengan hakikat kekurangan 4G ini dan kami akan tunjukkan beberapa hasil keputusan yang relevan.

Walaupun demikian, para pengguna masih membayar harga yang lebih tinggi bagi setiap Gigabait (GB) berbanding negara-negara lain di rantau ini. Syarikat telekomunikasi Malaysia adalah antara yang paling menguntungkan di dunia.

Oleh itu, bagaimana boleh pengguna Malaysia mendapat faedah yang lebih baik dengan 5G, jika cara pelaksanaan sebelum ini dikekalkan?

Sememangnya, rangkaian borong tunggal adalah satu struktur baharu bagi negara – di mana Malaysia akan menjadi antara yang pertama di dunia yang mengguna pakainya.

Negara-negara di mana rangkaian borong tunggal dipakai dan telah menunjukkan prestasi kurang memuaskan telah memberi pelbagai pengajaran kepada kita. Seperti yang dinyatakan, apabila risiko diketahui, maka impaknya dapat dikurangkan dan dibendung.

DNB adalah syarikat baharu yang ditubuhkan khusus untuk tujuan ini. Namun, baru bukan bermaksud kurang keupayaan. DNB sebenarnya diteraju oleh pasukan pengurusan yang mempunyai pengalaman luas dalam industri ini dan sememangnya, ramai yang telah diambil bekerja adalah daripada syarikat telekomunikasi tempatan dan global.

Oleh itu, adalah tidak jelas mengapa ada orang yang menganggap bahawa DNB akan gagal dalam menjalankan tugas.

Tambahan lagi, DNB hanya akan mengendalikan rangkaian borong. Pembekal perkhidmatan yang akan berhadapan dengan pengguna tetap Maxis, Digi, Celcom, Umobile, Telekom, YES dan lain-lain.

Dalam erti kata lain, DNB bukanlah sebuah syarikat yang benar-benar baharu ataupun mencipta monopoli. Rangkaian borong tunggal adalah sebuah perkongsian rangkaian untuk mengelakkan pertindihan kos dan memaksimumkan kecekapan.

Sebagai contoh, teknologi perkongsian MOCN (iaitu rangkaian teras berbilang pengendali) yang digunakan oleh rangkaian borong tunggal adalah teknologi yang terbukti baik dan digunakan di berpuluh-puluh negara lain untuk kedua-dua rangkaian 4G dan 5G.

Perkongsian spektrum yang dinamik dalam MOCN memastikan kecekapan yang maksimum – dengan daya pemprosesan yang lebih tinggi – dalam penggunaan sumber yang amat terhad ini.

Paling penting, cadangan perkongsian rangkaian ini akan menyebabkan harga yang lebih rendah untuk rakyat. Kami akan tunjukkan bagaimana kami dapat mencapai kesimpulan ini dengan menggunakan matematik mudah.

Kami menganggarkan harga jualan setiap GB boleh dikurangkan sebanyak 50 peratus untuk pengguna Malaysia. Kami langsung tidak meragui bahawa harga bagi pengguna akan jatuh, melainkan sekiranya syarikat telekomunikasi memutuskan untuk meraih segala kos yang dijimatkan bagi faedah mereka sendiri (namun, kami tidak fikir perkara itu akan berlaku), terutamanya memandangkan rangkaian borong tunggal akan menyebabkan persaingan yang lebih hebat di kalangan syarikat-syarikat telekomunikasi.

DNB telah menetapkan pelan pelaksanaan yang agresif, untuk mencapai liputan populasi 86 peratus menjelang 2024. Ericsson, selaku vendor, telah komited pada jadual kerja ini.

Pelaksanaan pantas ini akan menaik taraf Malaysia daripada menjadi sebuah negara yang ketinggalan dari segi perkhidmatan 5Gnya, kepada antara yang terpantas di rantau ini, yang hanya kedua selepas Singapura.

Ini amat kritikal. Ketersediaan sambungan internet jalur lebar berkelajuan tinggi, yang boleh dipercayai dan tersedia, akan memangkinkan lagi transformasi pendigitalan di Malaysia.

Ia akan menarik pelaburan baharu, terutamanya dalam industri perkhidmatan, serta memacu inovasi dan industri pengetahuan, di samping mewujudkan pekerjaan yang bergaji tinggi dan membantu usahawan Malaysia berkembang maju untuk menjangkau pasaran global. Ini semua akan memacu pertumbuhan ekonomi masa depan negara.

Kami percaya semua perancangan di atas boleh dicapai – tanpa menjejaskan keuntungan syarikat telekomunikasi sedia ada. Malah, kos borong yang lebih rendah – yang diperoleh daripada perkongsian rangkaian borong tunggal – akan menyebabkan harga yang lebih rendah untuk rakyat.

Dan harga yang lebih rendah akan membawa kepada jumlah permintaan yang lebih tinggi. Permintaan yang lebih tinggi, seterusnya, akan menghasilkan keuntungan yang lebih tinggi untuk syarikat telekomunikasi sedia ada.

Kesimpulannya, cara kami melihatnya – dan apa yang akan dilihat oleh setiap rakyat Malaysia – adalah cadangan dari DNB merupakan pendekatan menang-menang untuk semua orang.

Jadi, janganlah kita gadaikan nasib generasi masa depan hanya supaya segelintir yang terpilih boleh mengaut keuntungan beberapa bilion ringgit lagi.

Hujah menentang rangkaian borong tunggal

Kita mulakan dengan membangkitkan hujah utama menentang DNB dan pendekatan rangkaian borong tunggal untuk Malaysia.

1. DNB akan menjadi monopoli dan mengenakan harga yang tinggi kerana ketiadaan alternatif dan persaingan. Sikap senang puas hati kemudiannya akan mengakibatkan ketidakcekapan dan sekali lagi, harga yang lebih tinggi untuk pengguna Malaysia.

2. Perusahaan milik kerajaan tidak boleh secekap dan efisien seperti sektor swasta. Ada juga yang berpendapat ianya akan membawa kepada kejadian rasuah.

3. Penilaian pasaran untuk syarikat telekomunikasi akan jatuh tanpa pemilikan spektrum serta kemungkinan lebih banyak persaingan, termasuk dari pengendali rangkaian mudah alih maya (MVNO).

4. Pelaksanaan 5G oleh DNB akan lebih perlahan berbanding pelaksanaan oleh syarikat telekomunikasi.

5. Rangkaian borong tunggal mempunyai risiko kegagalan titik tunggal (single point of failure) yang lebih tinggi.

6. Pemberian kontrak secara langsung oleh DNB tidak mempunyai ketelusan serta tadbir urus yang baik.

7. Risiko vendor tunggal (Ericsson).

Pertama sekali, semua risiko yang disenaraikan di atas adalah andaian dan bukannya fakta. Seperti yang kami katakan, apabila risiko diketahui umum, ianya dapat dikurangkan.

Kedua, sekiranya terdapat sebarang keraguan, kami amat percaya kepada pasaran bebas dan persaingan.

Namun, terdapat juga industri di mana bilangan pemain yang paling cekap dan kos efektif adalah satu – yang biasanya untuk utiliti yang mempunyai perbelanjaan pendahuluan yang tinggi dan memerlukan skala ekonomi yang besar.

Di samping apabila permintaan perlu didayakan, umpamanya ketika membina jalan raya untuk membuka ladang dan industri. Ini ditakrif sebagai monopoli semula jadi.

Ini bermakna membina lebih daripada satu rangkaian infrastruktur akan menyebabkan pertindihan kos yang ketara, yang akan menyebabkan harga lebih tinggi untuk pengguna.

Monopoli semula jadi sudah wujud di Malaysia. Sebagai contoh, Tenaga Nasional adalah pemilik tunggal dan pengendali grid penghantaran dan pengagihan kuasa negara.

Petronas Gas memiliki rangkaian saluran paip gas negara. Keretapi Tanah Melayu (KTM) mengendalikan sistem kereta api di Semenanjung. Dan seterusnya.

Untuk menggambarkan kecekapan rangkaian borong tunggal berbanding rangkaian berasingan bagi setiap pengendali mudah alih, bayangkan 4 jalan satu lorong semuanya berjalan selari antara satu sama lain, di mana satu jalan mungkin sangat sesak manakala satu lagi adalah lengang tetapi pengguna tidak boleh bertukar jalan.

Rangkaian borong tunggal sebaliknya adalah bersamaan dengan lebuh raya 4 lorong, di mana anda boleh bergerak lebih pantas kerana aliran trafik akan diagihkan sama rata antara lorong.

Dalam erti kata lain, ianya akan mempunyai peningkatan dalam kecekapan spektrum, sekurang-kurangnya pada tahap 30 peratus, dan oleh itu penggunaan dan kelajuan pengguna akan lebih baik. Lihat ilustrasi di bawah.

Tiada siapa yang boleh meramalkan kegagalan peralatan. DNB amat menyedari risiko tersebut – iaitu kegagalan satu titik tunggal - dan telah menyediakan pelan luar jangka dan redundansi bagi mencegah, mengurangkan serta membendung sebarang kemungkinan kegagalan.

Malah kami meramalkan risiko vendor tunggal yang minimum. Ericsson ialah sebahagian daripada Perikatan O-RAN, yang mentakrifkan spesifikasi untuk rangkaian capaian radio dan memastikan kesalingoperasian untuk peralatan daripada lebih 200 ahli vendor. Sebagai contohnya, Singapura hanya menggunakan satu vendor, Ericsson.

Bagi penilaian pasaran untuk syarikat telekomunikasi pula, kebijaksanaan kolektif pasaran. menunjukkan hasilnya sendiri. Pasaran tidak menjangkakan penilaian syarikat telekomunikasi akan terjejas oleh rangkaian borong tunggal.

Harga saham untuk Maxis, Digi dan Axiata semuanya telah mengatasi prestasi FBM KLCI sejak 19 Februari 2021, apabila pendekatan rangkaian borong tunggal 5G diumumkan. Ini adalah fakta. Lihat Carta 1.

Carta 1
Carta 1

Kelebihan DNB

1. Pelaksanaan sedang dijalankan dan pelancaran komersial dijadualkan berlaku dalam masa beberapa hari lagi iaitu pada pertengahan Disember.

2. Sasaran liputan penduduk mencapai 39 peratus menjelang akhir 2022, 73 peratus pada tahun berikutnya dan 86 peratus menjelang 2024.

3. Kos borong sedang dimuktamadkan. Setelah perjanjian ditandatangani dengan syarikat telekomunikasi, DNB komited untuk menjual pada harga yang dipersetujui, pada harga kurang daripada 20 sen setiap GB.

Jelas sekali, hujah bahawa pelaksanaan oleh DNB akan lebih perlahan adalah salah berdasarkan jadual sasaran liputan DNB di atas. Dan dalam masa beberapa hari lagi, rakyat Malaysia akan menyaksikan pelancaran khidmat 5G komersial yang pertama di negara ini.

Sebagai perbandingan, syarikat telekomunikasi pada asalnya merancang untuk mengambil masa selama sembilan tahun untuk pelaksanaan 5G, bermula pada 2024. Ini sejajar dengan pelaksanaan 4G mereka, yang mengambil masa lapan tahun untuk mencapai liputan populasi 92 peratus (2013-2020) – ini merupakan satu lagi fakta.

Mengapa syarikat telekomunikasi akan menjadi lebih perlahan jika mereka melaksanakan rangkaian mereka sendiri? Jawapannya sangat mudah. Bagi mana-mana entiti sektor swasta, penawaran akan sentiasa didorong oleh jangkaan permintaan – di mana objektif utama mereka adalah untuk memaksimumkan pulangan bagi pemegang saham.

Ia bukan berniat jahat. Ini hanyalah lumrah perniagaan. Masalahnya, tidak seperti 4G yang didorong oleh pengguna, kes penggunaan paling penting untuk 5G adalah bagi perusahaan.

Dalam erti kata lain, Malaysia tidak mampu menunggu permintaan yang mencukupi sebelum membina infrastruktur 5G – seperti syarikat telekomunikasi swasta yang telah lakukan untuk 4G.

Sebagai contoh, walaupun selepas tempoh yang panjang selama 8 tahun untuk mencapai 92 peratus jumlah liputan penduduk, ketersediaan 4G adalah sangat berat sebelah, yang sangat memihak kepada bandar-bandar utama dengan mengorbankan lebih banyak kawasan luar bandar.

Menurut OpenSignal, selewat-lewatnya 2019, ketersediaan 4G di kawasan luar bandar yang jarang kepadatan berada pada tahap 44 peratus, berbanding 83.7 peratus di kawasan bandar.

Kerajaan terpaksa mengambil alih dan mengadakan program JENDELA berjumlah RM28 bilion untuk meningkatkan liputan penduduk daripada 92 peratus kepada 97 peratus.

Syarikat telekomunikasi yang didorong keuntungan tidak akan berbelanja di kawasan yang kurang padat penduduk kerana ia tidak boleh dilaksanakan dari segi kewangan.

Kita mesti menutup jurang bandar-luar bandar ini untuk 5G – yang kemungkinan besar akan berulang seperti apa yang berlaku dengan 4G, jika spektrum dan pelaksanaan ditentukan oleh syarikat telekomunikasi.

Sememangnya, kerajaan telah menyatakan dengan tegas – perkhidmatan digital untuk semua rakyat Malaysia adalah satu keperluan asas. Ia bukan satu keistimewaan untuk orang kaya, yang mampu membayar harga premium kepada syarikat telekomunikasi.

DNB, sebaliknya, didorong oleh bekalan. Negara mesti melaksanakan infrastruktur dahulu dengan mengambil kira permintaan yang akan timbul di masa hadapan – supaya negara dapat menarik pelaburan baharu dan memberi insentif kepada syarikat tempatan, termasuk PKS, untuk mendigitalisasi dengan cepat. Pelaksanaan pantas yang dijanjikan oleh DNB – dengan jadual kerja yang Ericsson telah komited – adalah kritikal.

Ia akan menaik taraf Malaysia daripada menjadi negara yang ketinggalan dari segi 5G kepada antara yang terpantas di rantau ini, kedua selepas Singapura.

Ini kemudiannya akan membolehkan ekosistem digital kita mengejar jiran kita, supaya perusahaan Malaysia dapat bersaing dengan berkesan dalam pasaran global.

Kita mesti memperbaiki berdasarkan pengalaman lalu

Pada masa lepas, Malaysia sentiasa mempunyai 3-4 rangkaian telekomunikasi mudah alih utama yang berjalan selari antara satu sama lain.

Persaingan, bagaimanapun, tidak membawa kepada kos yang lebih rendah atau kualiti perkhidmatan yang lebih baik untuk pengguna Malaysia. Ianya adalah sebaliknya – dan pengasas dan pemegang saham telah menjana berpuluh-puluh bilion ringgit selama ini.

Malah, syarikat telekomunikasi Malaysia adalah antara yang paling menguntungkan di dunia – secara konsisten memperolehi margin keuntungan yang luar biasa tinggi. Lihat Carta 2.

Carta 2, 3
Carta 2, 3

Sementara itu, pengguna Malaysia membayar harga yang lebih tinggi bagi setiap GB berbanding rakan mereka di Singapura, Thailand dan Indonesia. Lihat Carta 3. Namun kualiti perkhidmatan yang didapati adalah rendah.

Kami memilih beberapa keputusan (Carta 4) daripada tinjauan dan kajian yang dijalankan oleh pelbagai sumber bebas, yang menunjukkan kedudukan Malaysia lebih rendah daripada kebanyakan rakan serantau dari segi kualiti perkhidmatan telekomunikasi mudah alih, pengalaman pengguna, ketersediaan 4G dan kelajuan muat turun – walaupun membayar harga yang lebih tinggi.

Carta 4
Carta 4

Malah, kelajuan muat turun dan kebolehpercayaan semakin merosot apabila permintaan untuk data meningkat dengan mendadak, terutamanya semasa musim wabak atas dasar keperluan.

Sebagai contoh, MCMC menerima 433 peratus lebih banyak aduan mengenai perkhidmatan selular pada tahun 2020, berbanding tahun sebelumnya, di mana kira-kira 90 peratus daripadanya berkaitan kualiti rangkaian. Kenapa ini berlaku?

Kami fikir ia disebabkan oleh fakta bahawa syarikat telekomunikasi tidak melakukan pelaburan yang sejajar dengan kapasiti rangkaian. Lihat Carta 5-7.

Carta 5, 6, 7
Carta 5, 6, 7

Perbelanjaan modal (Capex) sebagai peratusan hasil untuk Maxis, Celcom dan Digi telah memuncak sekitar 2014-2016, walaupun penggunaan data terus berkembang dengan kukuh. Akibatnya kelajuan muat turun telah merosot, membawa kepada pengalaman pengguna yang kurang baik dan kebanyakan masa sambungan yang tidak boleh diharapkan.

Jadi, mengapa syarikat telekomunikasi tidak melabur lebih banyak ke dalam rangkaian mereka, untuk menampung penggunaan data yang semakin meningkat?

Kami berpendapat sekurang-kurangnya sebahagiannya adalah berpunca daripada pembayaran dividen mereka yang tinggi. Seperti yang kami katakan, sebagai entiti swasta, objektif utama mereka adalah untuk memaksimumkan pulangan pemegang saham. Ini seperti yang dijangka.

Sebagai contoh, kedua-dua Digi dan Maxis telah membayar hampir keseluruhan keuntungan bersih mereka sebagai dividen pada tiga tahun lepas.

Pembayaran tunai tahunan yang besar ini kepada pemegang saham telah menyumbang kepada kadar hutang yang tinggi dalam kalangan syarikat telekomunikasi, yang telah mengehadkan juga perbelanjaan modal mereka.

Secara ringkasnya, pendekatan semasa di mana spektrum diberi kepada beberapa syarikat telekomunikasi telah terbukti menjadikan perkhidmatan yang lebih mahal untuk rakyat Malaysia di samping kualiti perkhidmatan yang tidak baik – namun yang sangat menguntungkan bagi pemilik syarikat telekomunikasi.

Oleh itu, rakyat Malaysia tidak dapat mengharapkan perkhidmatan yang lebih murah dan lebih baik untuk 5G sekiranya cara pelaksanaannya tetap sama seperti 4G di masa lalu. Tidak mungkin kita akan dapat hasil yang berbeza sekiranya kita terus lakukan perkara yang sama berulang kali.

Menangani isu dan kebimbangan

Untuk menangani kebimbangan mengenai peningkatan ketidakcekapan – dan mungkin juga kelemahan DNB pada masa hadapan – kami mencadangkan bahawa KWSP dan pihak berkepentingan lain (termasuk syarikat telekomunikasi) ditawarkan pegangan ekuiti dalam DNB dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Sebagai pemegang saham, semua pihak akan mempunyai kepentingan untuk memastikan tadbir urus dan ketelusan yang betul, serta mencegah amalan monopoli, ketidakcekapan, sikap senang berpuas hati dan sebarang ketidakselarasan.

Mengapa harus kita menunggu tiga tahun dan bukannya menawarkan kepentingan ekuiti dengan segera? Ini bagi tujuan praktikal.

Pasti terdapat konflik kepentingan semasa tempoh kritikal pelaksanaan, yang akan menyebabkan kelewatan dalam jadual pelancaran, sama ada disengajakan atau tidak disengajakan.

Ini akan menjadi tidak produktif memandangkan Malaysia sudah ketinggalan berbanding dengan negara lain dalam melancarkan perkhidmatan 5G. Negara tidak boleh membuang masa lagi.

Mengenai kebimbangan tentang pemberian kontrak secara langsung oleh DNB, berikut adalah faktanya. Sebahagian besar daripada perbelanjaan modal DNB sebanyak RM7.5 bilion – setelah ditolak RM4 bilion untuk peralatan vendor dan perkhidmatan pelancaran di bawah Ericsson – diperuntukkan untuk pajakan gentian (daripada Telekom Malaysia), pajakan tapak (daripada syarikat telekomunikasi, edotco serta yang disokong kerajaan.

Syarikat dan pembekal kemudahan rangkaian) dan utiliti kuasa (Tenaga Nasional, Lembaga Elektrik Sabah, dsb.). Seterusnya, mungkin beberapa proses semak dan imbang lain perlu diperkenalkan untuk melindungi integriti kewangan DNB.

Perkhidmatan mudah alih yang lebih murah dan berkualiti tinggi untuk rakyat Malaysia

Akhir sekali tetapi yang paling pasti, rangkaian borong tunggal yang dikendalikan oleh DNB akan membawa kepada perkhidmatan yang lebih murah dan berkualiti tinggi untuk semua rakyat Malaysia. Ia bukan merupakan keajaiban, hanya logik biasa.

Mari kita jelaskan dengan analogi yang mudah. Anda menyewa trak untuk menghantar produk anda, kosnya, katakan RM100. Sekiranya anda berkongsi lori dengan jiran anda, kos anda akan dikurangkan kepada RM50.

Kalau anda dapat mencari rakan lain untuk berkongsi, maka kosnya akan turun lagi kepada satu pertiga (RM33) dan seterusnya. Jelas sekali, apabila kos diturunkan, anda boleh:

1. Jual pada harga yang lebih rendah, yang akan meningkatkan jumlah permintaan, dan pada masa yang sama mengekalkan margin keuntungan anda dan/atau

2. Memperoleh lebih banyak keuntungan.

Carta 8 menunjukkan struktur kos semasa untuk syarikat telekomunikasi dengan harga jualan kira-kira RM2 setiap GB kepada pengguna (secara purata).

Carta 8
Carta 8

DNB akan menjual kapasiti 5G kepada syarikat telekomunikasi pada harga borong misalnya, 15 sen setiap GB – ini akan menggantikan rangkaian sedia ada dan perbelanjaan berkaitan kira-kira RM1 setiap GB untuk syarikat telekomunikasi.

Andaikan semua perbelanjaan lain kekal tidak berubah, termasuk keuntungan 45 sen setiap GB untuk syarikat telekomunikasi. Menjumlahkan semua kos serta keuntungan telco – harga jualan akhir kepada pengguna dijangka akan kira-kira RM1 setiap GB atau 50 peratus lebih murah! Ya, anda membacanya dengan betul.

Pengguna harus mengharapkan pakej data mudah alih 50 peratus lebih murah, untuk 5G iaitu 100 kali ganda kelajuan 4G.

Mengapa kita juga menjangkakan perkhidmatan yang lebih berkualiti melalui DNB? Sekali lagi, jawapannya sangat mudah.

Pada masa ini, 3-4 pemain telco utama menguasai pasaran, sebagai oligopoli. Jangan silap, syarikat telekomunikasi yang menentukan harga jualan – kerana mereka memiliki infrastruktur rangkaian, termasuk spektrum.

Tiada peserta baharu boleh bersaing dengan berkesan, tanpa akses kepada rangkaian ini. Pengguna mengalami perkhidmatan yang lebih rendah dan kurang berkualiti, tetapi tidak mempunyai banyak pilihan. Ini merupakan kesimpulan daripada pelbagai tinjauan dan kajian yang dijalankan oleh pihak ketiga yang bebas.

Malaysia boleh memperbaiki keadaan ini untuk 5G. Dengan rangka borong tunggal, semua akan ada akses yang sama kepada infrastruktur rangkaian. Dalam erti kata lain, kita boleh melihat lebih ramai peserta baharu, memenuhi dan mengutamakan keperluan pengguna.

Kami tidak fikir pemain baharu akan mengambil alih pasaran syarikat telekomunikasi sedia ada. Namun ia hampir pasti akan memberi insentif kepada syarikat telekomunikasi untuk menyediakan perkhidmatan berkualiti yang lebih baik untuk mengekalkan pelanggan mereka.

Dalam erti kata lain, bukannya bersaing dalam infrastruktur – seperti liputan – tetapi bersaing untuk menawarkan perkhidmatan yang lebih baik dan pakej yang lebih inovatif.

Malah, sebalik daripada mewujudkan struktur monopoli, rangkaian borong tunggal sebenarnya akan memupuk persaingan yang lebih besar dalam sektor telekomunikasi. Ini amat baik bagi rakyat Malaysia. Ia akan membolehkan harga yang lebih murah dan kualiti perkhidmatan yang lebih tinggi. Itu janji DNB.

Nota: 5G, fakta dan andaian – tolak emosi, politik dan kepentingan peribadi