Pihak memanipulasi agama lebih teruk: Ahmad Zahid

 Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pihak yang berusaha untuk menidakkan kebenaran dengan memanipulasi agama adalah lebih teruk berbanding mereka yang tunduk kepada kebatilan.

Tanpa menjelaskan mengenai pihak yang didakwanya itu, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menerusi hantaran di Facebooknya pada Sabtu berkata, ada pihak yang menawarkan diri untuk menjadi alat menidakkan kebenaran.

“Perjuangan untuk menegakkan kebenaran penuh dengan onak dan duri, namun tidak mengapa kerana itulah ujian. Langkah menegakkan kebenaran bertambah ranjau tatkala kebatilan sentiasa merancang untuk menyekat.

“Kebatilan yang licik mengatur serta menyusun agenda dan naratif menggunakan segala tipu muslihatnya. Kerana itu tidak semua sanggup menentang kebatilan, memilih untuk tunduk disebabkan tahu lara dan likunya.

“Meski begitu yang tunduk tidaklah lebih teruk berbanding yang menawarkan diri jadi alat menidakkan kebenaran. Apatah lagi sanggup memanipulasi agama mengelirukan antara kebatilan dan kebenaran demi menghalalkan kehendak,” katanya.

Kenyataan Ahmad Zahid itu dipercayai merujuk kepada situasi semasa perhubungan antara UMNO dan Pas dalam Muafakat Nasional (MN) yang dilihat semakin dingin selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada November lalu.

Ahmad Zahid pada 6 Disember lalu secara tersirat menyatakan UMNO perlu bijak dalam mentafsir muafakat yang jujur berbanding dengan sebuah muafakat yang terselindung dengan tipu daya.

Katanya, ini berikutan ada pihak mencipta pelbagai alasan baharu untuk menjustifikasikan kononnya UMNO tidak mematuhi piagam MN.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menerusi laman Facebooknya sebelum ini berkata, UMNO dan Pas tidak akan lengkap serta mencapai tujuan asal perpaduan bangsa dan agama tanpa kerjasama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ahli Parlimen Marang itu juga berkata, Melayu dan Islam bukan sahaja melibatkan parti UMNO dan Pas tetapi turut meliputi Bersatu yang merupakan parti besar dalam kancah politik negara.