Penangguhan had usia belia beri ruang MBM 'bernafas'

Mohd Ridhwan (kiri) dan Zuraidin (tiga dari kanan) menyampaikan anugerah kepada belia terpilih pada Majlis Sambutan Hari Belia Negara 2021 Peringkat Negeri Kelantan di Kota Bharu pada Sabtu.
Mohd Ridhwan (kiri) dan Zuraidin (tiga dari kanan) menyampaikan anugerah kepada belia terpilih pada Majlis Sambutan Hari Belia Negara 2021 Peringkat Negeri Kelantan di Kota Bharu pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Keputusan kerajaan menangguhkan had usia maksimum belia daripada 40 kepada 30 tahun memberi ruang kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) untuk 'bernafas' dalam usaha mencari golongan pelapis bagi menerajui badan berkenaan.

Exco MBM, Datuk Mohd Ridhwan Tun Mohd Ali berkata, pihaknya memerlukan tempoh masa untuk membentuk dan membina semula barisan pelapis kepimpinan masa hadapan sebelum had umur 30 dikuatkuasakan sepenuhnya nanti.

"Kita sambut baik usaha kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menerima cadangan ini.

"Di peringkat MBM pula, kita akan adakan pertemuan dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mengadakan perbincangan lanjut berhubung perkara ini," katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Belia Negara 2021 Peringkat Negeri Kelantan pada Sabtu.

Perasmian majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Exco Belia, Sukan dan NGO Kelantan, Zuraidin Abdullah.

Menurutnya, tempoh masa itu juga memberi ruang kepada golongan belia untuk menimba seberapa banyak ilmu kepimpinan menerusi lebih banyak aktiviti turun padang bersama masyarakat.

Katanya, melalui cara itu belia dapat memainkan peranan lebih signifikan dalam aspek kepimpinan.

Mohd Ridhwan berkata, MBM memerlukan tempoh sekurang-kurang tiga tahun bermula sekarang untuk 'mematangkan' golongan kepimpinan belia di negara ini sebelum peraturan itu dikuatkuasakan.

Artikel Berkaitan:

"Saya akui serangan pandemik Covid-19 memberikan kesan kepada MBM untuk mengadakan program dalam mencungkil bakat-bakat baharu dalam kepimpinan.

"Selain itu, ada dalam kalangan ahli gabungan MBM menangguhkan persidangan akibat pandemik," katanya.

Akhbar tempatan pada Jumaat melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersetuju agar had usia maksimum belia ditangguh terlebih dahulu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!