Jumlah calon wanita masih kurang: Nancy

Nancy Shukri (kanan) menjawab soalan daripada Kadir Dikoh (tengah) sambil disaksikan oleh Dayang Nur Maisarah Abang Abdul Razak (kiri).
Nancy Shukri (kanan) menjawab soalan daripada Kadir Dikoh (tengah) sambil disaksikan oleh Dayang Nur Maisarah Abang Abdul Razak (kiri).
A
A
A

KUCHING - [DIKEMASKINI] Penyertaan calon wanita dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak masih kurang dan tidak cukup untuk mengetengahkan golongan tersebut sebagai pemimpin.

Naib Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, Sarawak mempunyai sejumlah 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan daripada jumlah itu, sebanyak 72 kerusi DUN di bawah pentadbiran Gabungan Parti Sarawak (GPS).

"Daripada 72 DUN ini beberapa bilangan sahaja pemimpin wanita, itu pun calon daripada PBB.

Secara peribadi, saya melihat penglibatan tersebut memang tidak cukup untuk mengetengahkan wanita," katanya dalam Program Sembang Politik PRN-12 bertajuk Sejauh Mana Peranan Wanita Memberi Impak? di studio mini Jiwa Bakti dan Utusan Sarawak di sini, pada Jumaat.

Tajuk itu dibincangkan bersama panel Ikon Belia Sarawak 2019, Dayang Nur Maisarah Abang Abdul Razak manakala moderator program tersebut ialah Penasihat Editorial Kumpulan Jiwa Bakti dan Utusan Sarawak/Mingguan Sarawak, Kadir Dikoh.

"Jumlah calon wanita yang rendah tersebut kemungkinan disebabkan beberapa faktor tertentu berdasarkan syarat dan penentuan dalam setiap parti politik.

Pucuk pimpinan setiap parti politik mempunyai had tertentu bagi pemilihan calon untuk mewakili setiap kawasan DUN yang akan bertanding pada PRN-12," katanya.

Sementara itu, Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong berkata, dalam politik sudah tentu setiap parti mahukan kemenangan dan disebabkan itu, ahli parti termasuk calon parti perlu mendengar suara orang ramai terutama pengundi di sesuatu kawasan.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, apabila pengundi inginkan seseorang calon untuk menjadi wakil rakyat mereka, setiap parti perlu akur kehendak rakyat berkenaan kerana mandat berada di tangan mereka.

Sehubungan itu, beliau berharap keadaan akan berubah pada masa akan datang dengan lebih banyak wanita menceburi diri dalam bidang politik di negara ini.

Dalam pada itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu menzahirkan keyakinan bahawa pencalonan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di DUN Gedong bakal merancakkan sektor pembangunan dan sosioekonomi di kawasan itu.

Katanya, sekiranya Abang Johari berjaya merebut kerusi DUN tersebut, ia menjadi satu peluang besar kepada penduduk setempat kerana sudah tentu kemajuan pesat melibatkan infrastruktur akan berjalan lancar.

"Penyandang DUN Gedong, Datuk Mohamad Naroden Matjais telah siap siagakan kawasan itu dengan kesediaan penduduk menerima calon baharu, apatah lagi calon tersebut adalah Ketua Menteri Sarawak.

"Insya-ALLAH, saya percaya Gedong akan menjadi sebuah daerah maju di bawah pentadbiran Ketua Menteri nanti," ujar Nancy.

Ikuti perkembangan semasa #PRNSarawak dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my