Penganjur 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia dikompaun

Khairy - Foto Bernama
Khairy - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan kompaun RM1,000 kepada penganjur Majlis 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia susulan gagal memastikan kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan penularan Covid-19.

Selain itu, KKM juga mengambil tindakan menutup serta-merta kaunter diskaun pembayaran saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang disediakan pada program tersebut.

Penganjur majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu adalah Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU), Jabatan Perdana Menteri.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pihaknya kecewa dengan penganjur yang gagal memastikan SOP dipatuhi.

"Penganjuran majlis yang sepatutnya mempamerkan pencapaian 100 hari kerajaan, kementerian dan agensi terlibat telah dicemari dengan kegagalan penganjur dan pengunjung dalam memastikan kepatuhan SOP yang ditetapkan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: SOP ketat sepanjang program 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia

Menurutnya, pihak penganjur sebelum ini telah menyatakan komitmen untuk memastikan program tersebut dianjurkan dengan pematuhan SOP yang ketat di samping aktiviti pemantauan, kawalan dan penguatkuasaan yang berterusan.

"Situasi kesesakan, tiada penjarakan fizikal dan tiada kawalan jumlah pengunjung yang hadir memberi risiko berlakunya penularan jangkitan Covid-19," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, nilai kompaun maksimum yang boleh dikenakan kepada individu dan pertubuhan ataupun organisasi adalah RM1,000 berikutan pengungkaian Ordinan-Ordinan Darurat di Dewan Negara pada Rabu lalu.

"Maklumat lanjut mengenai kaedah pembayaran saman dan tawaran diskaun akan dimaklumkan oleh pihak PDRM," katanya.

Tegasnya, KKM akan terus memantau perjalanan program itu dan tidak akan teragak-agak mengeluarkan lagi kompaun kepada pihak penganjur sekiranya gagal memastikan pematuhan SOP.

"Sebagai sebuah kerajaan, kita seharusnya menunjukkan teladan serta amalan terbaik kepada seluruh masyarakat.

"Kita mestilah berpegang kepada standard yang sama seperti yang telah dikenakan ke atas rakyat," katanya.

Lewat petang Khamis, rakyat menyuarakan kebimbangan di media sosial berhubung penularan Covid-19 berikutan beberapa keping gambar memaparkan kesesakan pengunjung pada majlis tersebut.

Majlis 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia berlangsung selama empat hari bermula Khamis.